|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.
KPT menerusi kenyataan di sini, turut mengumumkan pelantikan Prof Dr Yatimah Alias sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh sama berkuat kuasa 13 Januari ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan bekas Naib Canselor dua universiti berkenaan, iaitu Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail yang sebelum ini menerajui UTM dan Prof Datuk Dr Yusserrie Zainuddin (UMPSA).
"KPT yakin pelantikan mereka akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi," menurut kenyataan itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyerahkan watikah lantikan kepada Mohd Shafry dan Yatimah di pejabatnya di sini, semalam.
Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki ljazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2008.
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015) dan Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM (2019).
Selain itu, Mohd Shafry juga ialah Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023.
KPT memaklumkan pelantikan Yatimah, 55, adalah berdasar kepada reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimilikinya dalam pengurusan pentadbiran di Universiti Malaya (UM) yang beliau merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) sejak 2022.
Yatimah memiliki ljazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia dari University of East Anglia, Australia pada 1999 dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan lonic Liquids, selain pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM pada 2014, Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018) dan Presiden Malaysian lonic Liquids Research Society (MILRS) dari 2017 hingga 2022.
Menerusi kenyataan sama, KPT merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Fauzi dan Yusserrie atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA. - BERNAMA |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |