|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KELAH dan tengas kebiasaannya lebih mudah dipancing dasar, ditambah pula dengan sogokan aroma buah sawit peram.
Namun, kaedah mengilat juga berkesan jika pemancing dapat bersedia dengan strategi awal.
Ia merangkumi informasi berkaitan lokasi, kaedah, peralatan dan gewang yang sesuai sebelum mengambil keputusan untuk menjejak kaki jauh ke hutan rimba. Jadi, bagaimana impian ini dapat direalisasikan?
Saya bawakan bingkisan khas kami menelusuri pengalaman mengilat di Sungai Keniam, Taman Negara Pahang bersama rakan-rakan Wild Stream, Huzairy Works dan Chakoopz.
Semoga sedikit sebanyak, ia dapat membantu rakan-rakan semua dalam membuat persediaan.
Persediaan
Kami memperuntukkan latihan yang intensif dengan bersukan demi meningkatkan kecergasan dan stamina.
Kami sedia maklum akan mengharungi trip yang sangat mencabar.
Fishing guide yang berpengalaman amat diperlukan bagi memudahkan urusan. Langkah awal dimulakan dengan memohon lesen dan permit memancing daripada Perbadanan Taman Negara.
Segala kelengkapan rakaman dan alatan memancing perlu diisytiharkan bagi tujuan rekod.
Pemeriksaan alatan memancing juga perlu dilakukan di Stesen Penyelidikan Universiti Teknologi Mara oleh pegawai yang bertugas bagi memastikan kaedah tangkapan sejajar dengan syarat ditetapkan.
Peralatan
Set pancing perlu diselenggara dengan baik agar tidak berlaku segala kejadian yang boleh merencatkan perjalanan kerana empat jam tempoh masa diambil untuk bot sampai ke tapak perkhemahan di Lata Said. Ia diikuti dengan tiga jam lagi trekking untuk tiba di lokasi terakhir.
Kami bawa set pancing kelas ultralight hingga ke medium heavy seperti joran single hand sepanjang lima kaki digandingkan dengan kekili baitcaster Bait Finesse System (BFS) diisi mainline 6 paun (lb) dan disambung perambut 15lb.
Bagi ‘meranduk’ ke kawasan pancing, saya mengenakan rock shoes jenis tapak felt untuk cengkaman lebih meyakinkan di batu-batuan licin.
Lapangan pancingan kami adalah lebih 70 peratus di dalam air, maka beg kalis air yang boleh dijadikan pelampung menjadi pilihan kami.
Di dalamnya ada wisel, pisau, sarung tangan panjang, pelindung kaki dan lutut, tangguk ikan serta minuman dan makanan penambah tenaga.
Jam tangan yang mempunyai keupayaan membaca barometric, kompas dan aras ketinggian (Alti-Meter) juga merupakan aksesori amat membantu dalam ekspedisi ini.
Lokasi randuk
Terdapat beberapa lubuk pilihan di sekitar Sungai Keniam, antaranya Lubuk Lima Minit, Sepetir Satu, Sepetir Dua, Bulan Sabit, Terembong, Lubuk Y dan beberapa lagi.
Tidak seperti pancing dasar yang lebih terarah kepada kawasan berlubuk untuk mengilat, kami lebih melakukannya di kawasan bercegar iaitu lokasi junaman air deras, di mana dasarnya berbatu hampar.
Lebih mengujakan apabila sekitar cegar tersebut ada struktur berupa kayu balak tumbang. Saya berhasil mendapatkan dua ekor ikan tengas di lokasi ini, dan saiznya cukup memberi tentangan yang padu walaupun paras air setakat pinggang saya.
Namun, tidak semua lokasi yang dianggap berpotensi itu berpenghuni, maka pengalaman daripada guide amatlah diperlukan kerana nasihat mereka tentang kawasan perlu ditujukan gewang dapat meningkatkan potensi strike.
Ketika trip, guide kami menasihati supaya lebih menggunakan gewang jenis inline spinner dan spoon. Paling menjadi adalah inline spinner jenama Huzairy Works saiz tujuh gram (g).
Bukan sahaja kelah dan tengas yang sudi dengan inline spinner, malah spesies ikan lain seperti nyenyuar, sebarau, daun dan sia turut berjaya kami dapat.
Masa mengilat
Sesi mengilat di sungai ini tiada julat waktu kerana ada masanya kami mendapat sambaran ikan ketika matahari tegak terpacak di atas kepala. Namun masa keemasan mengilat adalah ketika awal pagi dan lewat petang.
Trip di luar musim tengkujuh juga dilihat amat sesuai memandangkan paras air yang optimum dan tahap kejernihan air lebih baik.
Walaupun ada hujan dan air menjadi agak keruh, namun, ia hanya mengambil masa beberapa jam untuk air kembali sepertiasal.
Tip
Apa-apa pun, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan kami. Sila pastikan kesihatan tubuh badan dan stamina berada dalam keadaan yang optimum kerana bentuk geografi di dalam hutan pasti mencabar.
Sila bawa bekalan ubat dan buat panggilan terakhir kepada keluarga tercinta sebelum bot bergerak jauh ke dalam hutan kerana di sana tiada liputan rangkaian telefon.
Power bank perlu dibawa untuk mengecas peranti elektronik yang amat diperlukan bagi merakam detik-detik manis.
Tangkapan secara terpilih (bag limit) amatlah disarankan bagi membantu kelestarian ikan kelah dan tengas sebagai khazanah asli ikan tempatan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |