|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara.
Universiti tersebut telah dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara bagi teras inovasi dan teknologi sukan.
Terdapat juga tiga universiti lain yang dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara dengan teras berbeza iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (teras tatakelola), Universiti Teknologi Mara (teras keusahawanan sukan) dan Universiti Sains Malaysia (teras agenda pembangunan mampan).
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias menerima dokumen lantikan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena ASEAN Sports Industry Expo 2025 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh.
Program anjuran KBS itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam pembangunan industri sukan dari aspek infrastruktur, teknologi dan bakat bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menurut Yatimah, penubuhan Pusat Inovasi Teknologi Sukan iaitu sebuah pusat kecemerlangan di UMPSA sangat tepat pada masanya.
“Penglibatan UMPSA dalam penyelidikan teknologi sukan telah bermula sejak tahun 2012 yang dipelopori oleh Makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) serta Human Engineering Research Group di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
“Antara prototaip produk yang telah dihasilkan adalah Soccer Ball Launcher, Agility Training Device, Wireless Timing Gate, Shuttlecock Shooter dan sebagainya.
“Penyelidik UMPSA juga terlibat dengan analisis biomekanik di dalam sukan seperti Finite Element Analysis dalam bidang berkaitan sukan dan data analitik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi Teknologi Sukan UMPSA atau dikenali sebagai STIC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan berbangga atas pencapaian diperolehi universiti itu.
Menurut Mohd. Hasnun yang juga Presiden Persatuan Teknologi Sukan Malaysia (MySTA), sejak ditubuhkan, STIC UMPSA aktif menyertai ekspo yang menghimpunkan semua segmen industri sukan negara.
“Ia merangkumi teknologi sukan, penganjuran acara, pembuatan dan pengilang, permotoran, persatuan dan kelab sukan, pendidikan, produk kesihatan, perbankan, pembinaan, peruncitan, perhotelan, kesihatan serta pelbagai perkhidmatan berkaitan.
“Platform ini menjadi pemangkin penting dalam memacu industri sukan sebagai salah satu penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau melalui pelaburan, perdagangan dan peluang pekerjaan,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |