|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Kebimbangan dan kesedihan saat melihat ayah dan kakaknya bertarung nyawa melawan kanser memberi semangat luar biasa kepada seorang wanita untuk bangkit membela kehidupan orang lain yang senasib dengan keluarganya.
Atas faktor itu, Zaridah Hashim telah mengasaskan Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang (CSP), iaitu satu badan yang menjadi tempat bergantung buat lebih 200 pesakit kanser di seluruh negeri.
Menurut Zaridah, pengalamannya menjaga ayah dan kakak yang masing-masing menghidap kanser tulang dan payu dara sebelum ini telah memberi kesedaran kepada dirinya.
“Saya lihat ramai pesakit kanser tidak memiliki sistem sokongan yang mereka perlukan, jadi saya fikir perlu buat sesuatu.
“Dari situlah saya dan beberapa rakan yang juga penghidap kanser menubuhkan CSP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Seiring Sejalan 2.0 anjuran CSP yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah di sini semalam.
Menurut Zaridah, CSP menyediakan sistem sokongan kepada ahlinya bagi mengelak mereka berasa bersendirian melawan penyakit yang ditanggung.
Beliau berkata, penghidap kanser ini memerlukan perhatian dan individu ini tidak boleh dibiarkan bersendirian seolah-olah kehidupan mereka seperti dipinggirkan.
“Melalui CSP, kita sediakan khidmat nasihat bukan sahaja kepada penghidap kanser tetapi juga kepada penjaga atau ahli keluarga mereka.
“Dalam masa yang sama, kita turut mempunyai jalinan kerjasama dengan persatuan dari negeri lain dan sering berkolaborasi dalam mengadakan pelbagai program berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Zaridah mempelawa pesakit kanser yang belum menyertai CSP supaya bersama-sama dengan mereka untuk menjalin kerjasama.
“Kita di CSP ingin membawa mesej dan menyedarkan masyarakat bahawa pesakit kanser perlu lebih bersemangat dalam berdepan ujian kesihatan itu.
“Mungkin ramai juga yang tidak tahu ke mana mereka perlu pergi untuk mendapat sistem sokongan apabila disahkan menghidap kanser, jadi kami di CSP sedia membantu,” katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |