|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| “Minat saya dalam dunia masakan terasuh oleh arwah ibu saya sejak kecil. Ibu saya orang Kelantan dan nasi kerabu merupakan makanan kegemaran arwah.
“Dia (ibu) ajar saya cara memasak kuah tumis nasi kerabu hanya dengan memberi arahan menggunakan mulut dan saya cuba buat, terus jadi.”
Itu ungkap Nurmunirah Abdul Rahman, usahawan wanita yang berjaya dalam perniagaan nasi kerabu di Kuantan, Pahang apabila sudah mempunyai dua cawangan kedai yang sentiasa menjadi buruan penggemar menu autentik negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Nasi kerabu menjadi sumber pendapatannya menerusi perniagaan miliknya, Nasi Kerabu Tumis Munie sejak 2021.
Sorot Nurmunirah atau lebih mesra disapa Munie, 34, lagi, minat memasak mula terpupuk sejak dia berusia tiga tahun kerana acapkali ‘mengacau’ arwah ibunya di dapur.
Secara kebetulan, ketika sudah meningkat remaja, ibunya yang merupakan anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan mencabarnya untuk memasak nasi kerabu tumis dengan sekadar memberi arahan dan hasilnya mendapat pujian.
“Bila ibu puji sedap, terus saya pegang resipi dan sejak itu sering masak untuk ibu bapa serta rakan-rakan ketika menuntut di universiti,” katanya.
Ceritanya, selepas tamat belajar, dia tidak terus menceburi perniagaan.
“Saya bernikah dan makan gaji dulu dengan bekerja sebagai guru subjek Bahasa Melayu di sebuah sekolah swasta di Kuantan iaitu Regent International School.
“Pada masa sama, saya juga buat kerja sambilan jadi guru tuisyen di beberapa pusat tuisyen sekitar Kuantan selama beberapa tahun,” katanya kepada K-Wanita.
Pun begitu, dek kerana kekangan masa bersama keluarga terutama arwah ibu dan arwah bapa yang menetap di Kelantan selain suami yang bekerja syif dan lokasinya agak jauh (suami bekerja kilang di Gebeng, Kuantan) menyebabkan jarang dapat berjumpa, dia nekad menukar profesion.
Munie turut mengakui dia berasa ralat kerana tidak dapat memberi kemewahan kepada ibu bapa serta mentuanya sepanjang kerja makan gaji sebelum ini.
Usai berhenti kerja pada pertengahan Disember 2020 dan tidak lagi mengajar, dia mula terfikir untuk gunakan segala bakat memasaknya dengan menjual nasi kerabu tumis resipi arwah ibunya.
TIDAK tunggu lama, bermula 27 Disember tahun sama, Munie mula cuba membuka order (pesanan) nasi kerabu tumis yang pada mulanya perniagaan itu dinamakan Nasi Kerabu Sedak Dooh.
“Saya membuat penghantaran dari rumah ke rumah meliputi sekitar bandar Kuantan selama lebih kurang sebulan.
“Pada 1 Januari 2021, suami saya buat kejutan dengan membuat tindakan berani menyewa sebuah kedai shop lot di Medan Selera Bandar Putra, Tanjung Lumpur.
“Bermula 6 Februari selepas segala kelengkapan dan persediaan masuk ke kedai selesai, saya mula berniaga dengan berbekalkan tiga tenaga kerja dibantu suami dan adik sepupunya,” katanya yang turut menggadaikan barang kemas dan mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya dan suami sebagai sebahagian daripada modal awal.
Pun begitu, adat orang berniaga, tidak semestinya untung. Itu juga yang berlaku kepada Munie dan suaminya.
“Ketika awal saya berniaga fizikal di kedai, saya pernah rasa hampir putus asa kerana jualan terlalu rendah.
“Boleh dikatakan saya langsung tak dapat nak ambil gaji saya sendiri. Saya hanya bayar gaji pekerja sahaja.
“Ketika itu juga saya akui tiada asas bisnes yang kukuh. Saya tidak pandai hendak ketengahkan produk dan jenama kepada orang ramai.
“Orang sarankan buat live di media sosial untuk tarik pelanggan supaya kenal dengan apa yang kita tawarkan, saya pun buatlah live setiap hari,” katanya.
Jelas Munie, ketika awal berniaga di kedai, negara ketika itu masih lagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Hal itu juga membuatkan dia dan suami cuba sedaya upaya untuk menjual dan bertahan dalam perniagaan diusahakan.
Berkongsi cabaran lain yang ia masih terjadi sampai ke saat ini, Munie memberitahu, pelanggannya sering tidak yakin untuk membeli sekiranya mengetahui dirinya bukan kelahiran Kelantan.
Baginya, sedap atau tidak rasa sesuatu makanan bukanlah atas tiket kenegerian seseorang itu.
“Bila ada pelanggan ajukan soalan mengenai asal atau tempat saya lahir, saya terpaksa memberitahu saya bukan lahir di Kelantan tetapi abang, kakak serta ibu saya lahir di sana dan nombor kad pengenalan mereka adalah 03.
“Dengan cara itu, baru mereka (pelanggan) mengiakan dan seolah-olah approved dengan rasa nasi kerabu saya.
“Namun saya menghormati pandangan masyarakat terutama pelanggan sekali gus membuktikan bahawa tidak semestinya perlu lahir di Kelantan baru boleh buat nasi kerabu,” tuturnya.
Menginjak tahun keempat berbisnes ditemani cabaran dan penat lelah, Munie bersyukur kerana perniagaan dan nasi kerabunya masih mendapat permintaan dan pernah tular di media sosial.
Beberapa video tentang kedai makannya di TikTok bahkan meraih sehingga setengah juta tontonan, bahkan ada peminat menyifatkannya nasi kerabu yang paling sedap di Kuantan.
Munie bersyukur kerana kini masa berkualiti bersama insan tersayang terutama suami dapat dikembalikan.
“Menerusi perniagaan nasi kerabu tumis ini juga, alhamdulillah saya dan suami dapat menunaikan umrah pada awal tahun ini.
“Lebih membanggakan, dalam masa kurang empat tahun berniaga, kami dapat buka cawangan kedua di Bandar Indera Mahkota dan jika tiada aral melintang cawangan ketiga bakal menyusul bulan depan.
“Saya juga bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan menggajikan lebih 20 orang staf ketika ini. Pada masa sama, saya dapat bina team (pasukan) yang sangat kuat serta banyak membantu saya dan suami dari segi kelancaran operasi bisnes,” katanya.
Akui Munie yang masih belum dikurniakan cahaya mata, paling tidak boleh dilupakan ketika dalam proses membuka cawangan keduanya sebelum ini.
“Ketika itu saya dan suami tiada kewangan yang betul-betul kukuh, namun Allah sebaik-baik penolong, perancang di kala kesempitan. Allah hadirkan orang-orang baik yang rapat dengan saya iaitu arwah bapa dan kawan baik saya sendiri meminjamkan wang sebagai modal.
“Abang saya juga sanggup buat pinjaman bank untuk mudahkan urusan, begitu juga dengan kakak dan adik saya yang sanggup menggadaikan barang kemas milik mereka semata-mata bantu realisasikan impian saya membuka cawangan kedua itu,” katanya sebak.
Berkongsi keunikan nasi kerabu tumis air tangannya dengan pesaing lain di pasaran, Munie memberitahu kuah tumis yang disediakan benar-benar resipi asli daripada arwah ibunya sendiri.
Jelasnya, arwah ibunya yang berasal dari Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh itu memang sangat pandai memasak dan sering dipanggil orang kampung untuk menjadi tukang masak sekiranya ada majlis kenduri di kejiranan.
“Dari segi pemilihan bahan mentah pula, kami menggunakan bahan premium seperti kambing gred lamb shoulder, daging gred lembut serta lemak daging gred AAA.
“Ia jauh jauh lebih mahal dan premium berbanding kualiti yang biasa digunakan di kedai-kedai lain demi menyajikan menu yang enak dan memuaskan hati pelanggan,” katanya.
Menutup perkongsian, wanita yang sangat aktif bermain badminton dan berenang ini mengimpikan untuk melebarkan sayap perniagaannya ke beberapa daerah lain di Pahang dan mungkin juga di beberapa negeri.
Pada masa sama, dia berniat berkongsi sebanyak mungkin manfaat bersama semua staf yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
“Bagi yang berniat nak mulakan perniagaan, kena yakin diri dan jangan bertangguh dan terus buat yang terbaik pada setiap masa.
“Paling penting jangan berhenti mencari ilmu dalam bisnes kerana peredaran zaman sekarang sangat mementingkan ilmu yang selari dengan kemodenan dan teknologi terkini,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |