Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Azhar Shahrulnizam
Title :Mahasiswa kecewa UM tutup premis jualan runcit 24-jam
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :11 Januari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kecewa susulan tindakan universiti itu yang menutup serta merta dua premis jualan runcit 24-jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal. Mahasiswa, Habib Khadzromi, 21 berkata sebagai mahasiswa yang tinggal di kawasan kolej, premis itu sangat membantunya membeli makanan atau barang keperluan dengan cepat dan mudah. "Bila ia ditutup, agak menyusahkan juga kerana terpaksa keluar kampus atau mencari alternatif lain yang jauh. Ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian. Saya terpaksa merancang lebih awal untuk membeli makanan atau barangan keperluan. "Sebelum ini, saya boleh membeli barang keperluan dengan mudah pada bila-bila masa. Sekarang saya perlu keluar ke tempat yang lebih jauh atau tunggu sehingga hujung minggu untuk membeli barang keperluan," katanya kepada BH. Semalam BH melaporkan UM menutup serta merta dua premis jualan runcit 24 jam bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan. "Premis berkenaan akan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. "Universiti Malaya sentiasa memastikan bahawa produk yang terjual dalam kampus adalah daripada pembekal yang mematuhi undang-undang, piawaian, peraturan dan prosedur yang dikenakan," kata UM dalam kenyataan. Habib bagaimanapun menegaskan isu halal masih menjadi kebimbangannya, terutama di premis di dalam kampus yang menjual makanan dari vendor luar. "Sebagai seorang Islam, saya akan memastikan apa yang saya makan adalah halal. Kadang-kala saya rasa ragu mengenai status halal produk yang dijual. "Saya rasa pihak universiti perlu pastikan semua premis yang menjual makanan di kawasan kampus mendapat sijil halal yang sah daripada pihak berkuasa. "Selain itu, mereka juga boleh buat pemantauan berkala supaya setiap premis mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Boleh juga membuat label yang jelas pada produk yang halal, supaya mahasiswa tidak berasa ragu-ragu," katanya. Seorang lagi penuntut, Muhamad Ariff Ziqri Muhamad Nazree, 21 pula berkata, beliau menghormati keputusan untuk UM menutup premis itu. "Walaupun tindakan ini memberikan kesan kepada mahasiswa tetapi untuk memastikan status halal yang diyakini saya bersetuju ia ditutup sementara. "Status halal sentiasa menjadi fokus dalam pemilihan makanan kerana saya mahu makan makanan dan minuman yang dijamin halal. "Penutupan premis itu sedikit menyebabkan saya sukar untuk membeli barangan harian dan makanan segera lebih-lebih lagi pada lewat malam. Ini menyebabkan kami terpaksa mencari alternatif lain yang selalunya lebih jauh dan mahal," katanya. Beliau turut mencadangkan pihak penjual atau pembekal harus memberikan senarai jualan supaya pihak universiti tahu barangan yang akan dijual. Dalam pada itu, seorang lagi penuntut Mohamad Haiqal Bujang Mohamad Ali, 20 berkata selepas berita menerima berita penutupan ini, timbul rasa bimbang terhadap keaslian produk makanan dan minuman yang dijual di dalam kampus. "Sebelum ini, saya percaya bahawa setiap kedai atau gerai makanan di kampus sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berkaitan kebersihan serta status halal sebelum memulakan operasi. "Susulan berita mengejutkan mengenai produk makanan dengan status halal yang diragui, saya percaya bahawa penutupan premis runcit itu t adalah langkah yang wajar. "Tindakan ini dapat memastikan siasatan lanjut dapat dilakukan segera. Isu kesahihan halal bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh, terutamanya di kampus yang mempunyai populasi besar umat Islam," katanya. Beliau juga mencadangkan sistem pemantauan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan isu sebegini tidak berulang. "Pemantauan ini bukan sahaja melibatkan pengesahan status halal sesuatu produk, tetapi juga aspek kebersihan premis makanan. "Kedua-dua faktor ini amat penting untuk menjamin kepercayaan pengguna, terutama di kawasan yang majoritinya beragama Islam," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035