Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Samadi Ahmad
Title :Manfaat peranan hutan, wujud budaya pemuliharaan khazanah alam - NEST
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :13 Januari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTRAJAYA: Pendidikan dan kesedaran menjadi dua elemen penting dalam usaha memanfaatkan peranan hutan, mewujudkan budaya pemuliharaan dan memastikan kemampanan khazanah alam itu. Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Sulaiman Salikan, berkata usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran itu boleh melalui pelbagai medium seperti kursus pembangunan kapasiti (KPK), penyelidikan inovasi saintifik, integrasi teknologi serta meningkatkan kemudahan awam mesra alam dan manusia. "Mendidik khalayak mengenai kepentingan hutan dan adaptasi kepelbagaian bio sekurang-kurangnya dapat membantu mewujudkan budaya konservasi dan kemampanan hutan. Melalui program latihan seperti KPK, ia dapat membantu komuniti meningkatkan kebolehan dan pengetahuan yang diperlukan dalam pengurusan hutan secara mampan," katanya. Beliau menjelaskan demikian pada seminar Memanfaatkan Keistimewaan Hutan dan Pokok dalam Adaptasi Transformasi di Taman Botani Perdana di ibu negara. Program dianjurkan pelajar semester enam Pengurusan Taman dan Ameniti, Pengajian Sains Geomatik dan Sumber Alam, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) UiTM Shah Alam. Seminar turut disertai 60 pelajar UiTM, bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai isu semasa berkaitan peranan hutan dan pokok dalam menyokong proses transformasi serta penyesuaian terhadap perubahan iklim, baik di peringkat domestik mahupun global. "Seminar ini antara langkah bagi mewujudkan kesedaran kalangan orang ramai mengenai proses penyesuaian terhadap perubahan iklim domestik dan global," kata Sulaiman dan memberi contoh, bioakustik adalah alternatif terbaharu digunakan dalam konservasi kepelbagaian bio yang dapat membantu pihak berwajib memantau dan mengurus hutan dengan lebih baik dan berkesan. Selain itu, tambahnya, penyelidikan saintifik untuk memahami peranan hutan dalam adaptasi iklim juga penting agar dapat mencapai amalan dan solusi yang inovatif serta lebih bermanfaat. Sementara itu, Pensyarah Kanan KAB, Dr Nor Hanisah Mohd Hashim, berkata seminar itu memberi ruang pelajar mendalami topik yang semakin penting, selain peluang berinteraksi secara langsung dengan pakar alam sekitar yang aktif dalam usaha pemuliharaan dan pengurusan sumber semula jadi. Beliau yang juga penasihat seminar berkenaan, berkata ia juga dapat meningkatkan pemahaman pelajar mengenai peranan penting hutan dan pokok dalam mengurangkan impak perubahan iklim, mengenai daya tahan terhadap perubahan alam sekitar serta mendalami pengetahuan inisiatif transformasi dan penyesuaian berasaskan alam semula jadi. Hanisah menambah, program itu dapat mempromosi kesedaran masyarakat dan tindakan kolektif dalam memelihara hutan melalui perkongsian idea dan strategi yang boleh digunapakai di peringkat komuniti dan menggalakkan pelajar meneroka serta mengaplikasi teknologi dan penyelesaian inovatif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta adaptasi ekosistem. "Program ini diharap dapat menjadi platform efektif dan memberi impak positif kepada komuniti akademik dalam mempromosi tindakan kolektif ke arah kelestarian alam. Seminar ini juga persediaan kerjaya kepada pelajar untuk menceburi bidang pemuliharaan hutan dan pokok dalam menghadapi cabaran perubahan iklim," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035