|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JASIN: Pemuda UMNO mahu semua kepemimpinan pergerakan itu pada peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara membuat laporan polis berhubung penjualan sandwic didakwa mengandungi barangan tidak halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata selain itu, semua badan bukan kerajaan (NGO) turut disaran membuat laporan sama bagi membolehkan siasatan dan tindakan tegas diambil ke atas pengusaha kedai serbaneka terbabit.
"Sebelum ini laporan polis sudah dibuat sekumpulan pelajar UM, kini saya mahu laporan sama dibuat semua Pemuda UMNO dan NGO di seluruh negara ke atas syarikat yang menjual makanan tidak halal serta menggunakan logo halal palsu untuk mengelirukan pengguna khususnya umat Islam.
"Mereka (syarikat) seolah-olah menipu seluruh umat Islam di negara ini, justeru dengan laporan polis itu kita berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan berat kepada syarikat berkenaan yang menggunakan logo halal secara haram itu," katanya ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin di sini, hari ini.
Terdahulu, UM menutup serta-merta dua premis kedai serbaneka dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal dan memberi ruang siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kilang yang membuat sandwic itu di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal, Jumaat lalu.
Serbuan dilakukan KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada jam 1 tengah hari.
Tindakan itu hasil aduan diterima JAKIM dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk sandwic yang dijual di beberapa premis kedai serbaneka terbabit.
JAKIM turut mengesahkan produk berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat menghasilkan produk itu bukan pemegang sijil terbabit.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata tindakan pengusaha kedai serbaneka berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan soal halal dan haram khusus dalam kalangan umat Islam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata sekiranya JAKIM sudah mengesahkan tiada sijil halal terhadap produk makanan berkenaan, pihak berkuasa diharap tidak bertolak ansur, sebaliknya mengambil tindakan tegas.
"Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan perkara seperti ini kerana ia sudah mencabar kedaulatan Islam di negara ini dan melampau.
"Dulu isu stoking kita marah dan lancarkan boikot, tetapi mahkamah dapati tidak bersalah dan kita akur keputusan mahkamah, tetapi soal makanan halal haram ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau masih memboikot kedai serbaneka berkenaan sehingga kini, namun menyerahkan kepada umat Islam lain sama ada mahu berbuat demikian atau sebaliknya.
"Saya memboikot kedai serbaneka itu sejak kempen Boikot 1.0 pada tahun lalu sehingga sekarang dan tidak pernah berubah.
"Justeru, bagi saya terpulang kepada umat Islam jika mahu boikot, silakan. Saya daripada awal sampai hari ini tidak pernah menjejakkan kaki ke kedai itu," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |