|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KEBIASAANNYA, orang ramai akan terlepas lokasi ini kerana objektif utama selalunya adalah hendak naik ke atas lagi iaitu ke Cameron Highlands. Pahang. Taman Eko
Rimba Kuala Woh ini jaraknya lebih kurang 13 kilometer (km) dari pekan Tapah, Perak atau 10 km dari Tol Tapah melalui jalan lama Tapah ke Cameron Highlands.
Hutan lipur yang terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Tapah ini sekarang diselenggarakan oleh satu syarikat swasta iaitu Kuala Woh Resort. Terdapat pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, kawasan glamping, vila, chalet, kafe dan sebagainya.
Sedikit bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan perkelahan, dan percuma bagi pengunjung yang menginap di resort.
Selain itu, terdapat Muzium Perhutanan Kuala Woh yang menempatkan info dan artifak berkenaan Orang Asli, satu taman air untuk kanak-kanak, kolam air panas serta kawasan Rock Forest serta Forest Mirror untuk pengunjung bergambar, semuanya percuma sahaja.
Turut disediakan, satu kolam pancing, perkhidmatan kereta buggy, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi dan basikal elektrik untuk bersiar-siar, abseiling, juggle trekking, lawatan ke perkampungan Orang Asli serta gelanggang badminton dan pickleball, di mana semuanya di bawah pakej resort dengan caj tertentu.
NostalgiaLebih kurang 25 tahun dahulu, semasa saya masih bujang, saya pernah sekali memancing di sungai ini. Tangkapan saya pada masa itu merupakan ikan sia, tengas daun dan tengas menggunakan umpan cengkerik dengan peralatan memancing ultralight.
Setelah sekian lama, saya kembali lagi, tetapi kali ini bersama isteri dan anak-anak. Tempat yang wujud air panas itu masih sama dan rupa muka bumi sungai juga tidak jauh berbeza.
Kami sekeluarga menyewa bilik chalet selama dua hari satu malam. Sebaik sampai petang itu, saya menyiapkan peralatan memancing kerana ingin mencuba lokasi-lokasi yang pernah saya pancing dahulu.
Namun, hajat saya tidak kesampaian kerana dinasihati oleh pihak pengurusan resort supaya tidak memancing di perimeter sungai dalam kawasan resort kerana dikhuatiri membahayakan pengunjung yang sedang beriadah di dalam sungai.
Namun, pancingan masih dibenarkan dengan syarat di luar dari resort atau di tempat yang tiada orang mandi-manda.
Hari minggu sememangnya ramai pengunjung yang berkelah, jadi petang itu saya hanya bersiar-siar dan ‘berendam’ di kawasan sungai berhampiran bilik chalet kerana hari pun sudah lewat. Saya juga tiada masa hendak meranduk jauh ke dalam sungai untuk memancing.
Menggunakan kaca selam milik anak, saya sempat meninjau keadaan di dalam air terutamanya di sebalik batu-batuan besar di lubuk bawah jambatan besi. Saya dapati banyak ikan berlegar terutamanya ikan sia dan tengas daun.
Ada juga ikan tengas baya-baya lengan berada betul-betul di bawah batu di bahagian paling dalam. Ada juga beberapa ekor ikan sebarau mundar-mandir di reba kayu di tebing.
Apabila dihulurkan roti, ternyata ikan-ikan ini sangat jinak, tidak culas dan tidak takut kepada kehadiran manusia. Mungkin kerana di situ adalah tempat beriadah, jadi ramai pengunjung selalu memberi makanan di kawasan sekitar.
Kolam pancingSaya dapati ada satu kolam pancing disediakan oleh pihak resort terletak di seberang sungai yang boleh diakses melalui satu jambatan gantung. Pagi esoknya, kami sekeluarga mencuba pancing di sana.
Kolam yang sederhana besar, lebih kurang saiz satu gelanggang bola keranjang itu bersumberkan air bukit berhampiran, airnya kelihatan bersih dan banyak ikan tilapia merah timbul di sana sini.
Pengunjung boleh memancing di kolam ini dengan sedikit bayaran yang telah ditetapkan oleh pihak resort. Pagi itu, hanya kami sekeluarga yang memancing di sana.
Umpan kami guna roti dan pelet makanan ikan sahaja.
Kami hanya menggunakan set pancing spinning ultralight kelas 4-10lb. Ikan sememangnya banyak dan sekejap sahaja kami berjaya menaikkan ikan patin dan tilapia merah.
Silih berganti menaikkan ikan, terasa jemu pula kerana hanya dua spesies ikan itu yang berebut umpan yang dihulurkan.
Saya merasakan, pasti ada ikan-ikan spesies lain di dalam kolam tersebut seperti haruan dan keli, tetapi ia tidak sempat mengambil umpan. Set pancing layang wt. 3 saya pasang kerana ia mungkin lebih mencabar, sememangnya benar sekali. Langsung ikan tidak mencuit umpan dry fly dan nymph yang saya hulurkan.
Saya pula tidak membawa satu pun bread dan pellet fly. Belek-belek di dalam fly box, saya jumpa satu dry fly, paten red ant.
Punggungnya berwarna merah, menyerupai pelet ikan yang ditabur sebagai rasuah. Dengan umpan layang itu, saya berjaya menaikkan beberapa ekor ikan tilapia merah.
Merasakan inilah peluang terbaik untuk mengajar ahli keluarga tentang pancing layang. Isteri dan kedua-dua anak lelaki saya mendapat ‘kursus jangka pendek’ berkenaan seni pancingan tersebut dan masing-masing mendapat ‘lesen’ beberapa ekor ikan tilapia merah, walaupun hanya melakukan roll cast dari tebing.
Semua ikan hasil tangkapan kami lepaskan semula ke kolam dan sesi pancingan ditamatkan apabila umpan layang red ant tersebut hancur meninggalkan mata kailnya sahaja.
Lagipun waktu sudah tengah hari dan kami perlu check-out tidak lama kemudian. Paling penting semua enjoy dan kesudahannya saya terpaksa berjanji dengan keluarga untuk datang lagi ke sini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |