Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Rafiqah Dahali
Title :UMS bantu pelajar masalah penglihatan minat bidang STEM menerusi inisiatif Kotak Interpretasi
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :14 Januari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTATAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited membantu pelajar kurang upaya penglihatan minat bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) menerusi inisiatif Kotak Interpretasi dilaksanakan melalui Program Per-Sense 4.0. Kotak Interpretasi STEM mengandungi elemen inovasi seperti gabungan teknologi elektronik yang mampu menghasilkan bunyi apabila disentuh dan ini menjadikannya lebih interaktif. Projek itu membabitkan kerjasama Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Fakulti Kejuruteraan (FK3), Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) serta U-Science UMS dan mendapat sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI). Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin, berkata projek itu disertai seramai 71 pelajar UMS membabitkan 20 pelajar Fakulti Kejuruteraan dan 51 pelajar Fakulti Perhutanan Tropika dengan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif UMS sebagai fasilitator. "Sebanyak enam unit Kotak Interpretasi STEM dihasilkan dan ia adalah antara kesinambungan UMS bagi memanfaatkan ilmu, kemahiran melalui kaedah pembelajaran diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM)," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Program Per-Sense 4.0 Kotak Interpretasi STEM Untuk Pelajar Berkeperluan Khas Penglihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran, di sini, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Guru Besar SK Pendidikan Khas Tuaran, Bong Yien Chiew. Dalam pada itu, Zawawi turut berkata, kerajaan sudah melaksanakan dasar pendidikan inklusif untuk memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat akses pendidikan berkualiti. "Justeru, program seperti ini penting untuk merangsang minat dan daya saing golongan ini dalam STEM sejak usia muda lagi. "Kita yakin hasil daripada pembelajaran ini mampu menjadi penanda aras kepada semua pihak untuk terus meneroka pelbagai kaedah baharu dalam memperkasa kemahiran serta meningkatkan minat murid dan pelajar kepada bidang STEM. "Pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi juga membuka peluang, memberikan harapan dan menyemai keyakinan bahawa mereka mampu menggapai bintang di langit," katanya. Sementara itu, penyelaras Projek SULAM Per-Sense 4.0 merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan Tropika, Dr Rosmalina Abdul Rashid berkata Kotak Interpretasi STEM itu adalah kesinambungan daripada projek buku 'tactile' (buku tulisan Braille dengan gambar rajah timbul) yang dilaksanakan pada 2023. "Transformasi daripada bahan pendidikan berbentuk buku kepada kotak interaktif ini adalah satu anjakan paradigma dalam pendidikan khas. "Ia bukan sahaja menambah variasi sumber pembelajaran tetapi juga merangsang minat murid dalam bidang STEM," katanya. SK Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran dengan jumlah 109 murid khas penglihatan menjadi penerima manfaat utama program ini. Dalam tiga siri Program Per-Sense yang bertemakan hutan dan alam semulajadi sebelum ini memfokuskan projek membentuk haiwan menggunakan tanah liat, penghasilan buku 'tactile' dan juga bahasa isyarat.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035