|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Biarpun pelbagai cadangan pembangunan Felda Bukit Goh masih diperkatakan dan surat bancian baru diedarkan, namun papan tanda bagi mengeluarkan bauksit dan penanaman semula telah dipacak di ladang-ladang sawit di kawasan berkenaan dan mencetuskan banyak persoalan.
Difahamkan papan-papan tanda berkenaan telah lama dipasang meskipun difahamkan lesen baharu bagi pengeluaran bauksit masih dibekukan.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di kawasan terbabit, terdapat papan tanda yang diletakkan di kawasan ladang sawit memaparkan nama pemilik ladang dan nama syarikat terbabit termasuk lesen untuk perlombongan bauksit.
Antara yang tertulis di papan tanda berkenaan adalah cadangan penanaman sawit semula kali kedua Felda dan kerja pemulihan tanah dan galian bagi tujuan permohonan pembebasan galian seperti bauksit secara berperingkat di felda berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam mengesahkan beberapa cadangan diterima bagi memajukan semula kawasan itu, namun setakat ini ia masih dalam proses kajian pelaksanaan.
Katanya, setakat ini lesen perlombongan bauksit di kawasan itu masih dibekukan dan kemungkinan hanya terdapat lesen-lesen lama yang diperoleh mana-mana syarikat sebelum ini.
Katanya, apa-apa projek yang hendak dilakukan bagi memajukan kawasan Felda berkenaan perlu diangkat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dan Felda untuk mendapat kelulusan.
“Kita nasihatkan peneroka perlu meminta nasihat kepada kerajaan negeri, jangan tertipu minta nasihat dan panduan daripada kerajaan negeri dan Felda, itu lebih baik,” ujarnya.
Seorang peneroka yang mahu dikenali sebagai Abi berkata, dia menerima tawaran untuk menanam semula dan juga mengeluarkan bauksit daripada beberapa wakil syarikat yang turut menawarkan wang pendahuluan.
Katanya, melalui penerangan daripada wakil syarikat, mereka tidak perlu mengeluarkan wang untuk penanaman semula kerana dibiayai syarikat berkenaan selepas proses pengeluaran bauksit dilakukan.
Ujarnya, mereka juga dijanjikan pendapatan daripada pengeluaran bauksit selain akan mendapat pendapatan jualan sawit apabila sudah matang dan tanah tersebut kekal menjadi milik mereka.
Dalam pada itu, seorang wakil peneroka yang enggan dikenali berkata, satu pembentangan mengenai hala tuju Felda Bukit Goh telah dilakukan melibatkan wakil-wakil peneroka pada 12 Mac lalu.
Katanya, dalam pembentangan yang turut melibatkan pihak Felda itu menyaksikan antara isu dibangkitkan adalah projek pembebasan mineral dan tanam semula sawit.
Ujarnya, dalam pembentangan itu pendapatan daripada mineral dan sawit tidak dapat ditentukan dan dijamin oleh syarikat kerana bergantung kepada kuantiti, gred dan kualitisebenar hasil semasa.
“Kami tidak pasti perkara ini mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan negeri kerana tiada wakil kerajaan negeri termasuk wakil rakyat hadir dalam pembentangan itu,” ujarnya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |