Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI
Title :TVET kesetiausahaan sedia laluan kerjaya cerah
Faculty :Kosmo
Year of Publication :22 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
DALAM dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, bidang kesetiausahaan bukan lagi sekadar menguruskan fail dan menjadualkan mesyuarat pihak pengurusan semata-mata. Kini, peranan seorang setiausaha telah berevolusi menjadi tulang belakang organisasi yang menggabungkan kemahiran komunikasi, teknologi digital serta pengurusan pejabat yang cekap. Selari dengan perubahan ini, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang kesetiausahaan tampil sebagai platform penting untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja profesional tetapi juga sedia berhadapan dengan cabaran di dalam bidang ini di era moden. Melalui latihan berfokuskan kemahiran praktikal, graduan TVET dalam bidang kesetiausahaan diyakini mampu menjadi aset strategik dalam memastikan kelancaran pentadbiran dan keberkesanan pengurusan di pelbagai sektor, sama ada kerajaan mahupun swasta. Pembantu Setiausaha Pejabat di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Puteri Nur Nasuha Idayu Mohd Nazri berkata, pelajar TVET dalam bidang kesetiausahaan memainkan peranan penting sebagai tenaga kerja mahir yang bersedia untuk menyahut cabaran dalam bidang ini. Menurutnya, kerjaya kesetiausahaan merangkumi pelbagai bidang tugas seperti menjadi setiausaha eksekutif, pembantu setiausaha pejabat, pembantu pentadbiran, pengurus pejabat atau setiausaha peribadi kepada pegawai atasan. “Tugas ini memerlukan seseorang yang cekap, sistematik dan berkemahiran dalam pengurusan dokumen, komunikasi lisan dan bertulis serta mampu menangani pelbagai tugasan serentak dengan efisien.   “Berdasarkan statistik, purata pengambilan pelajar baharu dalam bidang berkaitan kesetiausahaan di politeknik dan kolej komuniti dianggarkan sekitar 500 hingga 1,000 orang setiap tahun di seluruh negara,” katanya. Tambahnya, daripada jumlah tersebut, sekitar 400 hingga 800 pelajar berjaya menamatkan pengajian pada setiap kohort bergantung kepada institusi, program dan faktor pengekalan pelajar. Secara keseluruhan, dianggarkan seramai 2,500 hingga 4,000 orang alumni dalam bidang kesetiausahaan telah dihasilkan dalam tempoh lima tahun belakangan ini melalui laluan TVET di Malaysia. Angka itu membuktikan bahawa bidang ini berperanan penting dalam menyediakan graduan yang berkemahiran untuk mengisi pelbagai jawatan pentadbiran di sektor awam mahupun swasta. Puteri Nur Nasuha Idayu menjelaskan, dia juga merupakan lepasan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan, Pahang dalam bidang kesetiausahaan yang kini berperanan penting selaku pembantu setiausaha pejabat. Jelasnya, pengalaman mengikuti pengajian kesetiausahaan di POLISAS telah banyak membentuk kemahiran praktikal, etika kerja dan keyakinan diri untuk bersaing dalam dunia kerjaya yang mencabar. “Bidang ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka laluan kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah sarjana muda dalam pengurusan pejabat, pengurusan perniagaan atau pentadbiran awam di universiti awam dan swasta. “Kini, ramai alumni TVET dalam bidang kesetiausahaan berkhidmat sebagai setiausaha pejabat, pembantu setiausaha pejabat, pembantu tadbir, penolong eksekutif, pegawai pentadbiran atau pegawai khidmat pelanggan di pelbagai organisasi di seluruh negara,” ujarnya. Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada kajian kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti kadar kebolehpasaran graduan bidang berkaitan pengurusan pejabat dan kesetiausahaan dianggarkan melebihi 70 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Kesimpulannya, dengan peluang kerjaya yang cerah dan permintaan industri yang berterusan, bidang kesetiausahaan menerusi laluan TVET wajar dipertimbangkan oleh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat membina masa depan yang stabil dan berdaya saing. Maka, rebutlah peluang ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran praktikal yang relevan agar dapat menjadi tulang belakang pentadbiran organisasi di mana sahaja anda berada. Bidang kesetiausahaan hasil pendidikan TVET ibarat tulang belakang pengurusan pejabat: Tenang, teratur dan sentiasa relevan.Dengan ilmu dan kemahiran praktikal, graduan TVET mampu berdiri megah di pentas industri, menjadikan profesion ini terus bernilai sepanjang zaman.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035