Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :UiTM nafi dakwaan paksa mahasiswa bukan Islam sertai program berkaitan keagamaan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :14 Januari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan dakwaan bahawa universiti itu memaksa mahasiswa bukan Islam menyertai program berkaitan Islam pada Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 pada 11 Januari lalu. UiTM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan program yang berlangsung di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam itu membabitkan 2,447 pelajar semester pertama termasuk 34 pelajar bukan Islam daripada kursus Kokurikulum Kesatria Negara 1, Kembara 1 dan Pancaragam 1. "Aktiviti yang dirancang secara teliti memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, intelek dan spiritual mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang holistik, berintegriti serta bersedia menyumbang kepada masyarakat," menurut kenyataan itu. UiTM memaklumkan, pelajar Islam mengikuti Ceramah Pengurusan Jenazah di ruang utama masjid manakala pelajar bukan Islam menghadiri Ceramah Etika Sosial yang berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang. "Ceramah Etika Sosial bertujuan memberikan pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam. Selepas sesi ceramah tamat, pelajar bukan Islam menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang," menurut kenyataan itu. UiTM memaklumkan, penggunaan lokasi membabitkan masjid dan Dewan Muktamar (terletak di dalam masjid) bertujuan mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan. "Namun, UiTM memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program. Pihak Pusat Kokurikulum akan mengkaji semula prosedur penganjuran program bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan. "Penambahbaikan ini termasuk ketelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi untuk mengelakkan salah faham," menurut kenyataan itu. Menurut UiTM, pihaknya kekal komited untuk memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing serta berintegriti tinggi. Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa universiti berkenaan memaksa mahasiswa bukan Islam menghadiri program berkaitan keagamaan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035