Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :UMPSA
Pahang
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :SAIRUL ZAMRI MISRANI
Title :Arshada Nadia ikon mahasiswa, jadi ikutan
Faculty :Kosmo
Year of Publication :22 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KEPIMPINAN dalam kalangan pelajar penting kerana dapat membentuk jati diri, mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah selain memupuk sikap tanggungjawab. Melalui program dan peranan kepimpinan, pelajar dapat belajar membuat keputusan, mengurus masa, yakin diri dan merupakan aset penting dalam pendidikan serta kerjaya mereka kelak. Itu yang dilakukan pelajar semester akhir Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Arshada Nadia Abdullah, 25. Minat dan bakatnya dalam kepimpinan mula mekar tatkala sering membaca kisah-kisah orang berjaya di LinkedIn. LinkedIn merupakan platform jaringan dalam talian terbesar di dunia yang disusun atur untuk menghubungkan para profesional, membantu mereka membangunkan karier, mencari pekerjaan dan mengembangkan bakat seseorang. Bagi pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian ini, dari situ dia mula menanam minat untuk berjaya dengan lebih cemerlang dalam hidup. “Apa yang saya lakukan, saya sentiasa berusaha untuk mengemas kini resume dan profile diri di LinkedIn. “Bagi saya, tidak adil untuk saya sendiri dapat ilmu itu. Jadi, bermula pada 2022 saya mula berkongsi video mengenai tip yang berunsurkan LinkedIn dengan memuat naik video di platform TikTok.   “Tak sangka video tersebut mendapat perhatian ramai hingga mencecah ribuan penonton termasuklah daripada wakil LinkedIn sendiri,” katanya kepada K-Kampus. Akuinya, hal itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk berkongsi banyak video berkaitan LinkedIn di platform tersebut. Sejak itu, rezekinya bersama platform online tersebut semakin rancak apabila dia sering dijemput untuk memberikan ceramah serta pencerahan kepada para peserta menerusi kolaborasi dijalankan. “Seingat saya, jemputan pertama adalah dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Arau, Perlis pada September 2022 bagi berkongsi mengenai LinkedIn bersama pelajar tahun akhir. “Saya juga pernah dijemput sebagai penceramah LinkedIn ke program-program mega seperti Petronas Career Symposium : Empowering Youth, Unlocking the Future pada pertengahan tahun 2023. “Ketika itu saya bertugas menjaga reruai dan bertanggungajawab memberi penerangan kepada para pengunjung berkaitan LinkedIn dan resume,” katanya. Menerusi bimbingan rakan-rakan di LinkedIn dan tidak pernah berhenti menuntut ilmu, Arshada Nadia kemudian dipilih oleh LinkedIn Corporation untuk menjadi jurulatih bertauliah. “Alhamdulillah sejak dari itu saya telah menerima jemputan sebagai penceramah LinkedIn ke lebih 30 buah universiti awam dan swasta termasuk sekolah berasrama penuh dan kolej vokasional di seluruh Malaysia. “Tidak setakat itu, ilmu dan bakat kepimpinan saya juga menerima perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Team Selangor,” ujarnya lagi. Sebagai seorang jurulatih LinkedIn, Arshada Nadia sering dijemput sebagai penceramah ke program-program berkaitan LinkedIn, resume dan penjenamaan peribadi (self branding). Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara penceramah dan tugas hakikinya sebagai penuntut universiti, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini meletakkan akademik di tangga teratas. Baginya, akademik sentiasa menjadi nombor satu dan terpenting, namun penglibatan dalam kokurikulum termasuk program di dalam dan di luar universiti bergerak seiring. Antara program yang disertai di peringkat kampus termasuklah sebagai Pengarah Ekspokonvokesyen, Timbalan Pengarah Karnival Kerjaya dan Pengarah Student Leaders Boot Camp. Di luar universiti pula, anak ketiga daripada empat beradik ini turut membawa nama baik UMPSA sebagai Maybank Ambassador, Axiata Digital Leaders Programme 2024 dan peserta terbaik bagi Yayasan Sukarelawan Siswa Misi Sukarelawan ke Vietnam, Perintis Team Selangor, Ahli GirlsforGirls dan banyak lagi. Tidak sekadar itu, dia juga pernah mewakili UMPSA dalam Kongres Ekonomi Bumiputera dan melakukan pembentangan di luar negara. Arshada Nadia turut melibatkan diri dalam program antarabangsa dan membawa nama UMPSA ke medan antarabangsa seperti mewakili universiti ke UK-MUC International Student Consortium dan memenangi pingat emas dalam pertandingan itu. Maka tidak hairan dan layaklah dia menerima Anugerah Tokoh Mahasiswa pada Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2024 lalu. Terbaharu, Arshada Nadia dinobatkan sebagai Ikon TVET Mara dan Top 100 Young Asia Talent Award. Ditanya harapannya, Arshada Nadia berhasrat memberi perkongsian berkenaan LinkedIn dan resume kepada semua khalayak terutama rakyat di Sabah dan Sarawak. Jelas beliau, yang sedang menjalani latihan industri di Carigali PETRONAS-PTTEPI Operating Company (CPOC), dia merancang meneruskan kerjaya dalam industri minyak dan gas setelah tamat pengajian kelak.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035