|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KOTA BHARU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, siri jelajah itu adalah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi agensi itu bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian.
Ia sekali gus bertujuan mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
Menurut MCMC, jelajah itu akan diperluaskan ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat.
Selain itu, memberi pendedahan mengenai penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian.
Turut diadakan ialah ceramah mengenai modus operandi penipuan serta langkah pencegahan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, ceramah bertajuk 'Realiti Dunia Dalam Talian' oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Forum Bicara Klik Dengan Bijak serta reruai pameran.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim; Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahaya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |