|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ROMPIN: Fenomena air pasang besar minggu lalu membawa pelbagai sampah termasuk botol minuman di sepanjang kira-kira lima kilometer (km) pesisir Pantai Pontian hingga Kampung Jawa, di sini.
Bagi Naqiu Hakimie Aznan, 23, timbunan sampah menyebabkan aktiviti riadah di pesisir pantai tidak dapat dilakukan pelancong dan penduduk.
Katanya, air pasang besar bersama angin kencang yang beberapa hari sebelum ini meninggalkan sampah di sepanjang pesisir pantai Kampung Jawa.
"Saya tidak pasti dari mana datangnya pelbagai jenis sampah termasuk botol minuman yang begitu banyak. Apa yang berlaku seolah terdapat aktiviti membuang sampah ke laut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Hampir setiap tahun fenomena air pasang besar berlaku namun pencemaran sampah tidak terlalu banyak, apa yang berlaku kali ini agak menghairankan banyak pihak," katanya, di sini.
Naqiu Hakimie berkata, sejak menetap di Kampung Jawa, ini kali pertama dia melihat begitu banyak sampah dibawa air pasang yang turut menyebabkan hakisan pantai serius.
Rakannya, Mohd Zamri Abu Bakar, 29, setakat ini tiada aktiviti mengumpul dan memindahkan sampah yang terdampar di pesisir pantai di Kampung Jawa dan beberapa kampung lain.
"Hamparan pelbagai jenis sampah di pesisir pantai mencacatkan pemandangan, aktiviti berkelah dan mandi laut juga tidak dapat dilakukan oleh penduduk setempat dan pelancong.
"Air pasang yang akan berlaku selepas ini mungkin akan membawa sampah ke laut semula. Plastik yang hanyut dalam laut mengundang kematian penyu apabila reptilia itu makan bahan terbabit yang disangka obor-obor," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |