Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :Benteng pemecah ombak di Kampung Jawa perlu dinaik taraf elak kesan hakisan lebih serius
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :30 Januari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
ROMPIN: Penduduk Kampung Jawa, di sini memohon kerajaan segera menaik taraf benteng pemecah ombak sedia ada bagi mengelak kejadian hakisan pantai hingga memusnahkan jalan serta rumah penduduk. Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jawa, Ghazali Atan berkata, sebelum ini kerajaan sudah membina pemecah ombak menggunakan bongkah batu besar sepanjang lebih 100 meter dengan kos RM400,000, namun mendakwa ia tidak mencukupi bagi menangani hakisan pantai setiap kali musim Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar. Beliau berkata, kejadian air pasang besar dan angin kencang baru-baru ini merosakkan sebahagian jalan utama kampung selain menyebabkan hakisan pantai dan kemusnahan pokok ru termasuk kelapa. "Sebahagian jalan yang sebelum ini terletak kira-kira 100 meter daripada pantai kini musnah sepenuhnya berikutan air pasang besar tahun lalu. Setiap kali berlaku air pasang besar akan mengubah kawasan pesisir pantai. "Kejadian air pasang besar awal bulan ini merosakkan dua rumah dan menyebabkan sebuah rumah runtuh yang pada 15 tahun lalu terletak kira-kira 100 meter daripada pantai," katanya dihubungi, di sini, semalam. Beliau juga mendakwa sebelum ini wakil agensi kerajaan yang bertanggungjawab melawat kawasan pantai Kampung Jawa dalam menentukan tindakan terbaik dilakukan mengawal hakisan pantai, namun hingga kini tiada sebarang tindakan dibuat. "Kita memohon benteng pemecah ombak yang lebih baik perlu dibina. Setiap tahun fenomena air pasang besar berlaku semakin serius, ia mungkin disebabkan paras air laut semakin meningkat selain faktor angin kencang yang membuatkan ombak menjadi lebih besar dan kuat. "Kami yakin dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi episod hakisan pantai di Kampung Jawa menjadi semakin serius hingga mengundang kerosakan lebih banyak rumah penduduk dan kemudahan awam kerajaan. "Untuk membina pemecah ombak yang berkesan memerlukan perbelanjaan yang besar, dalam hal ini kerajaan perlu memikirkan nasib rakyat," katanya. Penduduk, Mohd Zamri Abu Bakar, 29, berkata keindahan kawasan pantai Kampung Jawa yang sebelum ini terkenal dengan sektor pelancongan kini terjejas teruk berikutan kejadian hakisan pantai yang serius. "Jalan yang disediakan kerajaan dua tahun lalu kini rosak, tidak mustahil kemudahan itu akan lenyap sepenuhnya tidak lama," katanya.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035