|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KEMAJUAN teknologi global hari ini menuntut inovasi yang bukan sahaja mampu memenuhi permintaan industri tetapi juga mesra alam dan berdaya saing.
Dalam konteks ini, penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sejarah melalui kejayaan menghasilkan grafit sintetik daripada pelepah sawit (OPF) dan tempurung kelapa sawit (PKS).
Menurut ketua penyelidik yang juga Felo Penyelidik Utama di Pusat Kecerdasan Bahan Termaju (CAIM), Profesor Dr. Jose Rajan, inovasi ini bukan sekadar penemuan saintifik tetapi satu transformasi strategik yang membuka peluang baharu bagi sektor Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) serta industri berkaitan penyimpanan tenaga.
“Keperluan terhadap grafit semakin meningkat di seluruh dunia, seiring perkembangan bateri litium-ion yang digunakan dalam telefon pintar, peralatan elektronik dan kenderaan elektrik (EV).
“Dalam sesebuah bateri litium-ion, sebanyak 28 peratus komponen anod terdiri daripada grafit. Namun, pergantungan kepada grafit semula jadi menimbulkan cabaran bekalan, kos dan impak alam sekitar,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.
Tambahnya, inovasi UMPSA untuk menghasilkan grafit sintetik daripada sisa biojisim sawit muncul sebagai alternatif penting pada masa hadapan.
Kajian ini turut dilaksanakan bersama pasukan penyelidik termasuk ChM. Dr. Izan Izwan Misnon serta pelajar pascasiswazah.
Kerjasama ini berjaya membangunkan protokol sintesis yang mengubah sisa sawit kepada struktur grafitik pada suhu di bawah 1,100 darjah Celsius.
Katanya lagi, berbanding proses penggrafitan konvensional yang memerlukan suhu melebihi 2,500 Celsius, kaedah baharu ini lebih menjimatkan tenaga, mengurangkan kos dan mengelakkan penggunaan bahan kimia berbahaya.
“Keupayaan Malaysia menghasilkan sekitar 127 juta tan biojisim sawit setahun menjadikan inovasi ini lebih strategik kerana memanfaatkan sumber tempatan secara optimum.
“Fungsi grafit sintetik ini tidak terhad kepada bateri sahaja. Ia turut digunakan dalam industri keluli, pelincir, elektronik dan penghasilan pigmen,” ujarnya.
Kongsinya lagi, melalui teknologi baharu itu, sisa pertanian kini dapat ditukar menjadi produk bernilai tinggi.
Ia selari dengan prinsip ekonomi kitaran serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya Tenaga Bersih dan Mampu Milik (SDG7).
Pasukan penyelidik UMPSA turut membuktikan keberkesanan grafit sintetik itu dalam superkapasitor iaitu peranti yang dibangunkan menunjukkan prestasi menggalakkan dengan ketumpatan tenaga 36 Wh/kg, ketumpatan kuasa 2,400 W/kg serta kestabilan selepas 10,000 kitaran.
Kejayaan ini membuktikan bahawa bahan inovatif daripada sisa sawit mampu menandingi grafit komersial dalam aplikasi penyimpanan tenaga.
Kini, penyelidikan diteruskan untuk aplikasi bateri litium-ion dan natrium-ion bagi mengoptimumkan ciri grafit sintetik tersebut.
Inovasi tersebut turut diperkuat melalui sokongan UMPSA menerusi program First in the World Flagship, selain beberapa paten berkaitan teknologi sintesis dan aplikasi bahan tersebut.
Penyelidikan mereka juga telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi seperti Journal of Energy Storage, ACS Sustainable Resource Management dan Journal of Electroanalytical Chemistry, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju teknologi mampan.
Kata Jose lagi, penemuan grafit sintetik berasaskan sisa sawit ini menegaskan bahawa inovasi tempatan mampu melonjakkan Malaysia sebagai hab teknologi bernilai tinggi.
“Ia bukan sahaja meningkatkan daya saing sektor HGHV tetapi membuktikan bahawa sisa pertanian negara mempunyai potensi luar biasa sebagai sumber strategik untuk teknologi tenaga masa depan.
“Inovasi ini sekali lagi memperlihatkan bagaimana inovasi yang tepat dapat memberi impak besar kepada industri, ekonomi dan kelestarian negara,” kongsinya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |