Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :Johor, UTM rancang perkasa pendidikan AI bersama universiti UAE
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :08 Februari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang untuk bekerjasama dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan kecerdasan buatan (AI) di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata usaha itu akan dilakukan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga antara universiti diberi peranan penting dalam pendidikan AI negara. Katanya, usaha itu merupakan hasil perjumpaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama pihak universiti berkenaan menerusi lawatan kerjanya ke Dubai baru-baru ini. "Hasil perjumpaan Menteri Besar di Dubai itu memang sudah mempunyai rangka (perancangan), namun kita perlu ada satu persefahaman yang lebih teratur untuk memastikan universiti tersebut turun ke Johor membantu dalam pendidikan AI," katanya selepas merasmikan Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini. Justeru itu, Aznan berkata delegasi kerajaan negeri dijangka akan mengadakan sesi lawatan ke universiti itu bagi perbincangan lebih lanjut berhubung usaha itu. Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun. Katanya, Johor bersedia melaksanakan sistem berkenaan kerana ketika ini terdapat 204 sekolah rendah dan menengah yang melaksanakan dua sesi iaitu pagi dan petang, manakala 990 sekolah pula melaksanakan sekolah sesi pagi. "Kita melihat sistem sekolah satu sesi akan membantu pelajar lebih fokus dalam pembelajaran dan tidak meletihkan berbanding dua sesi. Ia juga membantu memudahkan ibu bapa dari segi pengurusan waktu mereka," katanya. Terdahulu, Aznan berkata seramai 249 peserta di Johor menerima manfaat program MCMC Microsoft AI TEACH yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital serta memperkasakan komuniti dengan teknologi AI. Beliau berkata program dua hari yang berlangsung di tiga lokasi iaitu PIS, 42 Iskandar Puteri dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) negeri itu, selari dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 dalam menyediakan tenaga kerja terlatih termasuk sektor awam. "Program melibatkan AI sangat ditekankan kerajaan Johor terutama dalam PPMJ, kerana penglibatan masyarakat dan agensi kerajaan tentang kefahaman tentang AI merupakan satu langkah yang baik," katanya. – BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035