Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Asrol Awang
Title :Langgar lari bongkar penyeludupan dadah RM8.81 juta
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :10 Februari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Satu kes langgar lari membawa kepada rampasan dadah disyaki syabu seberat lebih 275 kilogram dianggar bernilai RM8.81 juta di Lipis, 6 Februari lalu. Rampasan terbesar di Pahang setakat tahun ini itu terbongkar selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish melanggar motosikal ditunggang dua remaja lelaki berusia 16 tahun di jalan Kampung Pagar Sasak, Lipis pada jam 1 tengah hari. Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pemandu MPV itu cuba melarikan diri dalam keadaan satu tayarnya pecah sebelum dikejar orang awam ke Kampung Sungai Mun sambil menghubungi Balai Polis Padang Tengku. Katanya, kemalangan menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal cedera parah serta menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis. Beliau berkata, lelaki berusia 67 tahun yang memandu Toyota Wish itu ditahan dengan bantuan Unit Peronda MPV Lipis. Beliau berkata, seorang lelaki berusia 31 tahun memandu Perodua Myvi yang cuba membantu pemandu MPV itu turut ditahan kerana dilihat mencurigakan. "Hasil pemeriksaan dalam Toyota Wish, polis menemukan 13 plastik hitam mengandungi 261 plastik lutsinar dipercayai syabu dalam bungkusan coklat bertulisan Cina dan dilabel 'Chrysanthemum Tea' serta dua helai kain hitam. "Dadah dirampas dianggar seberat 275.476 kilogram dengan nilai rampasan mencecah RM8.81 juta. "Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita sebuah Perodua Myvi bernilai RM59,400 dan wang tunai RM5,600," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini. Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 13 Februari ini. Katanya, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah manakala semakan rekod lampau mendapati mereka mempunyai rekod jenayah serta dadah. "Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai `transporter' dan dibayar upah tinggi untuk setiap penghantaran. "Dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dalam perjalanan dihantar ke Lembah Klang," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035