|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhasrat membuka pusat pembelajaran atau kampus sementara UMPSA Kuala Lumpur (UMPSA KL) dalam usaha memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)kepada masyarakat bandar serta golongan profesional yang bekerja.
Usaha ini sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tinggi.
Naib Canselornya, Prof Dr. Yatimah Alias berkata, Kuala Lumpur kini menjadi lokasi strategik UMPSA bagi menarik lebih ramai pelajar dari wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
“Pembukaan pusat pembelajaran ini kelak dijangka menarik minat pelajar di kawasan bandar, golongan bekerja yang ingin meningkatkan kemahiran dan rakan industri serta agensi kerajaan untuk berkolaborasi dalam bidang teknikal dan latihan.
“Strategi ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar dalam dan luar negara,” katanya selepas melawat persediaan pembukaan UMPSA KL di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur serta hadiri mesyuarat penyelarasan bersama anak-anak syarikat milik penuh UMPSA iaitu UMPSA Holdings dan UMPSA Advanced.
Pun begitu, pembukaan rasminya akan ditentukan tidak lama lagi.
Jelas Yatimah, inisiatif ini turut memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi sejajar permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Ujarnya, sudah tiba masanya UMPSA miliki sebuah pusat pembelajaran di Kuala Lumpur dalam menawarkan jaringan strategik bagi pelajar yang mencari akses TVET tanpa perlu ke kampus di Gambang dan Peka, Pahang.
“Langkah ini selari dengan sasaran kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan.
“Ia sekali gus menyokong transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi Madani yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya
Tambah Yatimah, usaha ini juga sebahagian daripada pelan transformasi UMPSA sebagai universiti teknologi bertaraf global yang menekankan konsep pembelajaran fleksibel, akses mudah serta kolaborasi dengan industri di bandar.
“Usaha ini juga tepat masanya apabila UMPSA merupakan salah satu universiti yang diberi kelulusan sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC) dalam usaha memperluas akses serta fleksibiliti pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Menerusi pelaksanaan QVC, ia membolehkan mereka yang bekerja menyambung pengajian secara formal.
Sementara itu, micro-credentials menjadi pintu masuk semula ke universiti pada masa hadapan terutama bagi mereka yang tidak dapat mengikuti pendidikan secara konvensional.
Jelasnya, pengiktirafan itu adalah strategi penting memperkasa pelaksanaan kursus micro-credentials yang selari piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Dengan adanya pusat pembelajaran ini nanti membolehkan universiti menawarkan program profesional dan program kompetetitif pada masa akan datang.
“Ini termasuklah latihan jangka masa pendek, pensijilan industri dan program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang ditawarkan menerusi UMPSA Advanced,” katanya.
Pusat pembelajaran ini juga akan menyediakan kemudahan pembelajaran moden berasaskan teknologi digital, bilik kuliah pintar dan sistem pengajaran hibrid yang berfungsi sebagai hab jaringan industri dan komuniti. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |