|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi mengorak langkah memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan penganjuran Hari Terbuka UMPSA 2025 baru-baru ini.
Program itu diadakan sempena sambutan Hari TVET Negara yang berlangsung selama dua hari dari 18 hingga 19 Jun lalu di Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak yang hadir mewakili Menteri Besar Pahang.
Hadir sama ialah Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias dan barisan tetamu kehormat lain.
Menurut Mohd. Soffi, kerajaan negeri komited dalam memperkasakan pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan masa depan negeri dan negara.
“TVET adalah platform pembangunan modal insan yang bersifat masa hadapan serta berkait rapat dengan industri.
“Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti penubuhan Akademi Rel Pahang dan biasiswa TVET untuk anak-anak negeri,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohd. Soffi berbangga apabila melihat UMPSA berada di hadapan dalam memperkenalkan TVET bertaraf antarabangsa, termasuk program mobiliti pelajar ke luar negara, kerjasama akademik-industri dan pembangunan kampus pintar.
Penghargaan turut dizahirkan terhadap usaha UMPSA yang terus menerajui bidang TVET bertaraf antarabangsa melalui kerjasama strategik bersama industri dan institusi global seperti Beijing Jiaotong University (BJTU).
Sementara itu, Dr. Yatimah berkata, penganjuran International Young Future Leaders (iFUTURE’25 @UMPSA) turut memeriahkan Hari Terbuka UMPSA.
Ia merupakan satu platform strategik nasional yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai medan untuk memperkasa kepimpinan mahasiswa.
“Forum ini membuka ruang kepada generasi pelapis negara untuk memahami dan membincangkan isu-isu nasional serta global melalui wacana, dialog serta sesi libat urus bersama pemimpin,” katanya.
Forum iFUTURE menampilkan sesi berprestij dikendalikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin sebagai moderator bersama panel jemputan.
Penganjuran iFUTURE kali ini berlangsung dengan tiga siri yang memberi fokus kepada Pemerkasaan Wanita, Agenda TVET dan Dialog Mahasiswa ASEAN yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai universiti luar negara.
Forum itu dihadiri pelajar dari Universitas Indonesia, Vietnam University of Ho Chi Minh, University of Southeastern Philippines, Svay Rieng University dari Kemboja dan Nanyang Technological University Singapore.
Turut berlangsung adalah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA dengan Lembaga Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PERDA), Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan E-Access International College dalam memperkasa TVET.
Dalam pada itu, Hari Terbuka UMPSA dirangka sebagai platform inklusif untuk menghubungkan pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi yang holistik.
Penganjuran turut dimeriahkan dengan pelbagai program utama termasuk Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2025 yang menampilkan 283 produk penyelidikan dan inovasi daripada UMPSA, IPT, sekolah serta pihak industri.
Lain-lain acara termasuklah Festival Kerjaya UMPSA yang menyediakan lebih 250 peluang kerjaya dan latihan industri melibatkan lebih 20 syarikat ternama dan multinasional negara.
Acara selama dua hari itu telah berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |