Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :UMPSA
Pahang
Main Author :MOHD. BAKHTIAR SOBRI
Title :TVET bukan lagi pilihan kedua
Faculty :Kosmo
Year of Publication : 12 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SETIAP tahun, ribuan pelajar lepasan SPM melangkah ke fasa kehidupan baharu. Ramai yang percaya hanya laluan akademik ke universiti menjamin masa depan yang cerah. Namun, hakikatnya, sistem pendidikan Malaysia hari ini menyediakan pelbagai laluan yang lebih fleksibel dan inklusif, sesuai dengan bakat, minat dan tahap pencapaian pelajar. Ini termasuklah bidang teknikal, kemahiran dan vokasional yang menjadi pilihan ramai. Di negara-negara maju di bawah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), lebih 40 peratus pelajar menengah atas telah mengikuti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Malah, hampir satu pertiga belia mereka menjadikan kelayakan vokasional sebagai pendidikan tertinggi. Di rantau ASEAN pula, Singapura menjadi contoh berjaya dengan sistem politeknik dan institut latihan teknikalnya seperti ITE (Institute of Technical Education) yang melahirkan graduan berkualiti tinggi dan diiktiraf oleh industri antarabangsa. Di Jerman pula, dua pertiga lepasan sekolah menjalani latihan melalui sistem dual-vocational yang menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan praktikal industri. Model ini menjadi rujukan dalam pemba­ngunan sistem latihan TVET Malaysia. Malaysia turut mengikuti pendekatan serupa. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan enrolmen pelajar politeknik mencecah 300,000 menjelang tahun 2030. Lepasan Sijil Pelaran Malaysia (SPM) boleh memulakan laluan kemahiran dengan mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3.   Program TVET ini ditawarkan di institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giat Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Pertanian serta institusi swasta yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Kurikulum Siji Kemahiran Malaysia (SKM) memberi tumpuan kepada latihan praktikal. Bidang seperti automotif, elektrik, hospitaliti dan multimedia menjadi pilihan utama pelajar. Syaratnya mudah, hanya perlu lulus SPM. Graduan SKM boleh me­nyambung ke Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan seterusnya ke Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM). Program-program ini ditawarkan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan IKTBN dan ia dirangka bersama pakar industri serta disusun mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar bersesuaian dengan realiti pekerjaan sebenar. Politeknik, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Perindustrian Jepun Mara (MJII), IKM dan Kolej Komuniti pula menawarkan pelbagai program sijil dan diploma TVET dalam bidang kejuruteraan, pelancongan, teknologi maklumat, keusahawanan, logistik dan pelbagai lagi. Program ini sangat relevan untuk pelajar yang inginkan pendidikan praktikal dan kos pengajian yang lebih mampu milik. Kemasukan ke program-program ini tidak memerlukan keputusan SPM yang terlalu tinggi. Ia menggabungkan kuliah teori dengan latihan amali di makmal atau bengkel yang lengkap, membentuk asas yang kukuh kepada kemahiran pelajar. Jadi rebutan Statistik KPT dan data menyeluruh Institusi Pendidikan Mara (IPMA) pada tahun 2023 menunjukkan graduan Politeknik mencatat kebolehpasaran 93.7 peratus, Kolej Komuniti (94.8 peratus), IPMA termasuk KKTM, MJII dan IKM (94.34 peratus), manakala Universiti Awam (UA) mencatat 88.2 peratus. Ini membuktikan TVET bukanlah laluan ‘lebih rendah’, malah sa­ngat diperlukan dalam ekonomi semasa. Graduan diploma Politeknik berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Politeknik Premier atau UA yang lain. Sistem pemindahan kredit juga membolehkan pelajar menjimatkan masa dan kos tanpa perlu mengulang kursus yang setara. Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) kini diberi status Premier kerana menawarkan program ijazah sarjana muda berkualiti tinggi. Mereka menumpukan kepada kejurute­raan, teknologi maklumat, reka bentuk dan hospitaliti selari de­ngan kehendak industri. Menurut laporan KPI Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2023, graduan Politeknik Premier telah mencatatkan 96.6 peratus kadar kebolehpasaran, melebihi sasaran nasional yang ditetapkan. Ini membuktikan bahawa graduan Politeknik Premier setanding dengan lulusan universiti dari segi permintaan pasaran. Selain laluan TVET, pelajar cemerlang akademik turut ditawarkan pilihan seperti Program Asasi UA, Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Foundation Universiti Swasta. Laluan ini sesuai bagi mereka yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang profesional seperti perubatan, perundangan atau sains tulen. Namun begitu, menurut statistik KPT pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran graduan Ijazah Sarjana Muda hanya mencatat sekitar 89.8 peratus, lebih rendah berbanding graduan TVET. Ini menunjukkan bahawa walaupun laluan akademik tradisional kekal relevan, ia bukan satu-satunya jalan ke arah masa depan yang cerah. Bantuan kewangan Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara, dermasiswa IPTS serta pinjaman PTPTN. Golongan B40 juga mendapat keutamaan dalam agihan bantuan ini, menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif. Dalam era Revolusi Industri 4.0, institusi seperti Rang­kaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UniKL menawarkan program ijazah yang selari dengan permintaan digital, automasi, kecerdasan buatan dan sistem pintar. MTUN terdiri daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Universiti ini menawarkan program teknikal dengan penekanan kepada hands-on, penyelidikan gunaan dan hubungan industri. Sebagai contoh, UMPSA melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) telah menjalin kerjasama pintar dengan 12 organisasi industri dalam pelaksanaan WBL bagi program Sarjana Muda Teknologi. Prestasi MTUN turut membanggakan. Sebagai contoh, UTeM mencatat kebolehpasaran 97.7 peratus (2023), manakala UTHM 96.4 peratus (2024). Ini menunjukkan pendekatan praktikal yang diterapkan benar-benar mendapat kepercayaan majikan. Sebagai universiti milik PETRONAS, UTP melahirkan jurutera profesional dalam industri tenaga, manakala UTM yang terkenal dalam bidang kejuruteraan pula mencapai kadar kebolehpasaran 100 peratus pada tahun 2024. Ini satu pencapaian luar biasa dalam sektor pendidikan tinggi. UniKL menawarkan program dalam bidang kejuruteraan teknologi, aeroangkasa, robotik, automotif dan teknologi maklumat. Graduannya mencapai kadar kebolehpasaran 97.1 peratus pada 2023 hasil pendedahan praktikal dan kolaborasi industri yang mantap. Program ijazah TVET menyedia­kan pelajar bukan ha­nya dengan teori, tetapi juga kemahiran sebenar untuk terus be­kerja selepas tamat pengajian. Ini menjadikan mereka aset berharga kepada majikan. TVET bukan sahaja tentang kemahiran, tetapi membina kerjaya dan keyakinan. Ibu bapa memainkan pe­ranan penting dalam membimbing anak. Mereka disaran menghapuskan stigma bahawa TVET adalah laluan kelas kedua dan memberi sokongan kepada minat serta kecenderungan semula jadi anak Memiliki sijil kemahiran, diploma atau ijazah, kesemuaa ini ada kelebihan tersendiri. Yang penting ialah pelajar perlu memilih laluan yang bersesuaian dengan kekuatan, minat dan cita-cita mereka. Dengan struktur pendidikan TVET yang inklusif dan data kebolehpasaran graduan yang menggalakkan, jelas bahawa TVET bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar pelbagai tahap pencapaian, malah menjadi pemacu penting kepada kemakmuran ekonomi negara dan ke­sejahteraan rakyat secara menyeluruh. Pendidikan TVET bukan hanya pilihan, tetapi pelaburan masa depan. Sudah tiba masanya kita menilai semula maksud sebuah ‘kejayaan’. Ir. Ts. Mohd. Bakhtiar Sobri ialah Jurutera Profesional dan ahli Majlis Pakar Government-Industry TVET Coordination Body (GITC).
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035