Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
UMPSA
Main Author :DR. NORIZAN YUSOF
Title :Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat
Faculty :Kosmo
Year of Publication :26 Mei 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
DUNIA sentiasa berubah dan teknologi baharu semakin ke hadapan membuka peluang kepada individu untuk terus belajar serta meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan ilmu mereka dalam apa jua bidang sekalipun. Budaya belajar merupakan satu bentuk pelaburan yang sangat menguntungkan kerana ia akan memberi perubahan dari sudut pengkayaan ilmu pengetahun, pemahaman dan membuka minda yang lebih luas. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan satu keperluan dalam dunia moden yang bergerak pantas dan penuh ketidaktentuan. Ia bukan hanya terhad kepada institusi pendidikan formal, malah mencakupi proses pembelajaran berterusan dalam pelbagai bentuk dan persekitaran sepanjang hayat seseorang individu. Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah satu strategi penting dalam membentuk individu yang berdaya tahan, berilmu dan mampu menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih cemerlang. Salah satu bentuk inisiatif oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam mewujudkan suasana pembelajaran sepanjang hayat adalah dengan perkongsiaan daripada pakar bertajuk ‘Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat Melalui Program Global Classroom’. Pembelajaran sepanjang hayat ialah proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai secara berterusan tanpa mengira umur, latar belakang pendidikan atau status sosial. Ia meliputi pembelajaran formal (sekolah, kolej, universiti), bukan formal (latihan, bengkel, seminar) dan tidak formal (pengalaman hidup, pembelajaran kendiri, komuniti). Individu yang berpegang kepada nilai ini akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus berkembang dan menambah nilai dalam kehidupan mereka. Limitasi pemikiran kepada belajar secara formal itu perlu diubah bagi mewujudkan keseronokan untuk sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baharu walaupun bukan dalam bidang kepakaran atau kerjaya masing-masing.   Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat memberi impak besar dalam memperkukuh prestasi kehidupan dari pelbagai aspek termasuk pemerkasaan diri, kemajuan kerjaya, kesejahteraan psikososial dan keseimbangan kehidupan. Individu yang membudayakan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi lebih cekap dalam menguruskan kehidupan, kerjaya dan hubungan sosial. Kecekapan ini lahir daripada pendedahan berterusan kepada ilmu, pengalaman baharu dan pelbagai perspektif yang membantu mereka memahami situasi dengan lebih menyeluruh. Mereka bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah memiliki keupayaan insaniah seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif. Dalam jangka masa panjang, individu seperti ini bukan sahaja mampu memimpin diri sendiri ke arah kehidupan yang lebih bermakna, malah berpotensi menjadi pemimpin yang menyumbang kepada masyarakat dan organisasi. Dengan asas ilmu yang kukuh dan semangat belajar yang tinggi, mereka akan terus berkembang sebagai agen perubahan yang positif.Pembelajaran sepanjang hayat memainkan peranan penting dalam memastikan individu kekal relevan, adaptif dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang dinamik serta sentiasa berubah. Dalam Era Revolusi Industri 4.0 dan transformasi digital, kemahiran yang dimiliki hari ini mungkin tidak lagi mencukupi dalam beberapa tahun akan datang.Oleh itu, pekerja perlu sentiasa meningkatkan dan mengemas kini ilmu serta kemahiran mereka agar tidak ketinggalan. Dengan membudayakan pembelajaran berterusan, individu dapat mempelajari kemahiran baharu seperti teknologi digital, pemikiran analitik, pengurusan projek serta kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi berkesan dan penyelesaian konflik. Kemahiran-kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran seseorang pekerja, malah membuka peluang kenaikan pangkat, mobiliti kerjaya, dan peningkatan pendapatan. Selain itu, budaya pembelajaran membentuk sikap profesional yang positif seperti ketekunan, keinginan untuk berkembang dan semangat inovasi. Dari sudut semangat kendiri, pembelajaran yang konsisten membantu individu mengenali keupayaan sebenar mereka. Apabila seseorang berjaya menguasai kemahiran baharu atau memahami konsep yang mencabar, ia akan memberi lonjakan keyakinan dan semangat dalaman yang mendorong mereka untuk terus mencuba perkara baharu. Pembelajaran sepanjang hayat berperanan penting dalam membantu individu membina keseimbangan antara tuntutan kerjaya, keluarga dan pembangunan diri. Dalam dunia moden yang serba pantas dan mencabar, individu sering berdepan tekanan daripada pelbagai aspek kehidupan, terutamanya dalam menyesuaikan masa dan tenaga antara kerja, tanggungjawab keluarga serta keperluan untuk terus berkembang sebagai insan. Dengan menguasai kemahiran seperti pengurusan masa, pemikiran sistematik, komunikasi efektif dan kecerdasan emosi, seseorang dapat merancang rutin harian secara lebih teratur dan efisien. Ini penting bagi mengelakkan keletihan melampau (burnout) dan konflik peranan. Dari sudut pembangunan diri, pembelajaran sepanjang hayat membolehkan individu terus memenuhi keperluan kendiri untuk perkembangan diri dan kerjaya sama ada dalam bentuk pengetahuan baharu, kemahiran, hobi, spiritualiti atau pertumbuhan peribadi. Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah pelaburan jangka panjang yang membawa pulangan besar kepada individu, masyarakat dan negara.Ia membina manusia yang dinamik, adaptif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh prestasi kehidupan secara menyeluruh. Walaupun berdepan cabaran, pendekatan yang sistematik dan sokongan berterusan mampu merealisasikan budaya ini sebagai teras kepada kemajuan. Justeru, semua pihak termasuk individu, keluarga, institusi dan kerajaan harus berganding bahu dalam menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya hidup demi membina masyarakat berilmu dan masa depan yang gemilang. Oleh itu, perlu ada pendekatan yang sistematik seperti menyediakan peluang pembelajaran fleksibel, memanfaatkan teknologi digital, merangsang motivasi intrinsik dan mewujudkan ekosistem sokongan yang kondusif, termasuk sokongan keluarga, rakan sekerja, komuniti, serta dasar kerajaan yang proaktif. Kesungguhan semua pihak sangat diperlukan termasuklah individu, keluarga, institusi pendidikan, majikan dan kerajaan bagi merealisasikan impian ini. Hanya dengan kerjasama menyeluruh dan komitmen berterusan, pembelajaran sepanjang hayat dapat diangkat sebagai teras kemajuan masyarakat berilmu dan negara yang cemerlang. Maka, marilah kita jadikan pembelajaran sebagai amalan hidup, bukan hanya untuk kejayaan hari ini tetapi demi membina masa depan yang lebih sejahtera, lestari dan gemilang.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035