|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| INDUSTRI minyak dan gas merupakan salah satu sektor yang paling penting dan berpengaruh dalam ekonomi global.
Di Malaysia, kerjaya dalam industri ini menawarkan peluang yang luas, gaji kompetitif selain faedah yang menarik.
Maka tidak hairanlah dari tahun ke tahun, bilangan pelajar baharu yang mendaftarkan diri dalam bidang minyak dan gas (O&G) di institusi pendidikan yang menawarkan kursus tersebut kian mendapat sambutan.
Berkongsi mengenai peluang kerjaya graduan, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Petroleum Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dr. Iskandar Dzulkarnain berkata, industri minyak dan gas menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada graduan baharu terutama dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan pengurusan.
“Pekerjaan dalam industri minyak dan gas terkenal dengan gaji yang tinggi dan cukup lumayan.
“Selain gaji asas, pekerja juga biasanya akan menerima bonus, elaun dan pelbagai insentif lain berdasarkan prestasi semasa.
“Tidak sekadar itu, syarikat minyak dan gas tidak kira dalam atau luar negara sering menyediakan peluang untuk pembangunan profesional melalui kursus latihan, seminar dan program pembelajaran berterusan,” katanya kepada K-Kampus.
Jelasnya, dengan permintaan yang berterusan untuk minyak dan gas, kerjaya dalam industri ini menawarkan kestabilan dan kesinambungan jangka panjang.
“Industri minyak dan gas menawarkan pelbagai peluang kerjaya menarik dan menguntungkan sekali gus menarik pelbagai institusi pendidikan tinggi negara menyahut cabaran tersebut dalam menyediakan kursus profesional sama ada ijazah mahupun diploma.
“Di universiti, program yang ditawarkan biasanya merangkumi kursus akademik, latihan teknikal atau pembangunan profesional yang direka khusus untuk memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang sentiasa berkembang pesat tahun ke tahun,” katanya.
Berdasarkan kajian pihak tertentu, UTP dikatakan universiti pilihan No.1 majikan bagi industri minyak dan gas di negara ini. Pelbagai program berkualiti yang ditawarkan menjadi faktor kekuatan.
Lain-lain universiti yang berada dalam kedudukan tertinggi ialah Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Minggu ini, K-Kampus membawakan 10 universiti teratas yang graduannya paling laku dalam industri minyak dan gas seperti mana dikongsikan oleh Instagram Meta Oil &
Gas (oilandgasmeta).
Ia sekali gus sesuai dijadikan rujukan oleh pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat mengikuti pengajian bidang ini.
K-Kampus menyediakan senarai dengan cuba merungkai kelebihan atau kekuatan universiti-unversiti terbabit sehingga diburu majikan industri minyak dan gas.
1 Universiti Teknologi Petronas (UTP) – 83%
TERLETAK di Bandar Seri Iskandar, Perak, UTP dimiliki sepenuhnya oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas), syarikat minyak dan gas nasional Malaysia.
UTP menawarkan pelbagai program kejuruteraan, sains dan teknologi relevan dengan industri. Sejak penubuhannya, UTP telah mencapai reputasi kukuh dalam dengan penekanan khusus dalam sektor minyak dan gas serta tenaga.
Berada di ranking No.1 universiti terbaik Malaysia menurut senarai The Higher Education 2025 sudah cukup menggambarkan hebatnya.
Menurut pensyarah UTP, Dr. Iskandar Dzulkarnain, pelbagai program berkualiti ditawarkan.
Jelasnya, semua kursus UTP merupakan program yang rata-ratanya disukai majikan sekali gus menyediakan tenaga kerja yang profesional dan berkemahiran kelak.
“Tidak dinafikan semua kursus UTP tawarkan mengambil keperluan utama semasa profesion ditawarkan termasuk dalam O&G. Keduanya, jenama kami itu sendiri (Petronas) juga menjadi tambah nilai sekali gus menyumbang kepada kebolehpasaran graduan selepas tamat belajar,” katanya.
2 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – 80%
UTM yang menduduki tempat kedua sudah dikenali umum sebagai institusi peneraju dalam bidang kejuruteraan petroleum di negara ini.
Maka tidak hairanlah graduan yang dilahirkan dari universiti yang terletak di selatan tanah air sentiasa menjadi dambaan para majikan berteraskan minyak dan gas.
Dari hari ke hari pelbagai kolaborasi dijalankan UTM dengan pemain industri dalam dan luar negara bagi memastikan program yang ditawarkan kekal relevan.
Terbaharu, UTM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Petronas Carigali Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memperluas kerjasama dua hala khususnya dalam konteks akademik dan industri.
Menerusinya, ia dilihat sebagai pemangkin penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan keperluan industri, khususnya dalam sektor minyak dan gas yang boleh dianggap kian mencabar.
Kerjasama itu juga menjadi bukti bahawa gabungan kepakaran akademik dan industri adalah kunci untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, malah bersedia menyumbang secara signifikan dalam pembangunan industri strategik negara.
3 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) – 78%
UMPSA semakin mendapat perhatian syarikat-syarikat dalam industri minyak dan gas di Malaysia terutama melalui kerjasama strategik yang melibatkan pembangunan bakat, penyelidikan dan teknologi.
Sebagai sebuah universiti berteras kejuruteraan dan teknologi, UMPSA telah jalin kerjasama dengan beberapa syarikat utama dalam industri O&G, antaranya Petronas Chemicals MTBE Sdn. Bhd., BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd., Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. dan lain-lain.
Kerjasama ini melibatkan MoU dan perjanjian (MoA) bertujuan perkukuh hubungan antara universiti dan industri khususnya dalam bidang penyelidikan dan inovasi.Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias berkata, UMPSA juga menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Minyak Dan Gas) melalui
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
“Program itu direka khas untuk lahirkan graduan berkemahiran tinggi dengan penekanan kepada pembelajaran berasaskan kerja Work Based Learning (WBL) dan pembelajaran berasaskan projek Problem Oriented Project Based Learning (POPBL),” katanya.
Begitu juga program Sarjana Muda Teknologi Fasiliti Minyak Dan Gas dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) yang ditawarkan melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta lain-lain.
4 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) – 75%
BERADA di kedudukan keempat dalam senarai merupakan satu pengiktirafan penting terhadap usaha berterusannya dalam menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) berkualiti serta selari keperluan industri.
Pencapaian ini juga memperlihatkan komitmen padu pihak universiti dalam memastikan program akademik yang ditawarkan terus relevan dan responsif terhadap kehendak pasaran kerja.
Sejak 2006, lebih 2,000 graduan UniKL berjaya mencipta kerjaya di dalam sektor minyak dan gas, sekali gus mencerminkan keberkesanan jaringan strategik antara UniKL dengan pihak industri.
Malah, subjek kejuruteraan yang ditawarkan oleh UniKL turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai dalam World University Rankings by Subject 2025: Engineering oleh THE.
Pengiktirafan sebagai Graduates’ Choice of Employers oleh Talentbank selama dua tahun berturut-turut antara bukti.
5 Universiti Sains Malaysia (USM) – 72%
USM terus melangkah maju dalam pelbagai program termasuklah pengajian berkait sektor minyak dan gas.
Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditubuhkan pada 1 Mei 1992 sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995).
Penubuhannya bertujuan untuk menawarkan program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia bagi melatih jurutera kimia profesional yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri proses kimia serta minyak dan gas yang pesat membangun di negara ini.
Kini, USM menjadi salah sebuah institusi pendidikan yang melahirkan serta menyumbang ribuan graduan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam sekor petroleum negara.
6 Universiti Putra Malaysia (UPM) – 70%
UPM terus menyerlah sebagai institusi terkemuka yang menjadi pilihan utama sektor petroleum dan gas, berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), Kementerian Pendidikan Tinggi 2024.
Seramai 122 graduan UPM telah berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor ini pada 2024, melibatkan graduan dari Fakulti Sains, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul serta Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, graduan fakulti berkenaan menjadi buruan majikan dari sektor industri petroleum dan gas disebabkan kurikulum relevan serta praktikal memenuhi keperluan industri itu.
“Pendekatan pembelajaran menyeluruh ini memastikan graduan UPM bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga mampu menangani cabaran kompleks dalam sektor tersebut.
UPM menggalakkan pelajar menjalani latihan industri di syarikat ternama seperti Petronas, Shell, Sapura, Schlumberger, Hibiscus Petroleum, ExxonMobil, MMHE dan lain-lain,” katanya.
7 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – 68%
UKM memperkenalkan beberapa program khusus dalam sektor minyak dan gas yang dikawal selia Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Fakulti Sains dan Teknologi.
UKM turut menjalankan pelbagai koloboratif bersama pelbagai syarikat berkaitan minyak dan gas dalam serta luar negara dalam usaha melahirkan dan menyumbang tenaga mahir bidang tersebut.
Ini menjadikan kebolehpasaran graduan UKM dalam sektor minyak dan gas kian meningkat saban tahun.
8 Universiti Utara Malaysia (UUM) – 65%
MESKIPUN bukan universiti teknikal, namun UUM membuktikan graduan pengurusannya termasuk bidang pengurusan sumber manusia, perakaunan, ekonomi dan keusahawanan antara yang kompeten.
Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan, kualiti graduan UUM terbukti boleh melengkapkan operasi sesebuah organisasi.
“Penyenaraian UUM dalam carta ini membuktikan program akademik kami telah memenuhi keperluan industri yang kian mencabar, termasuk dalam sektor strategik seperti minyak dan gas,” katanya.
9 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) – 63%
PROGRAM berkaitan minyak dan gas Unimas dikendalikan sepenuhnya Fakulti Kejuruteraan mereka.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, fakulti itu mempunyai kemudahan dan kepakaran bagi menganjurkan program-program latihan bersifat kompetensi dan bukan kompetensi dalam bidang gas. Sumber minyak dan gas yang melimpah di negeri Bumi Kenyalang itu turut menjadikannya penyumbang utama
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sekali gus sebagai faktor utama graduan Unimas diburu syarikat berkaitan.
10 Universiti Teknikal Malaysia Melaka – 60%
MENURUT Naib Canselor UTeM , Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin, program-program dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Elektronik, Automasi, Pembuatan, Teknologi Maklumat dan Pengurusan memberi kelebihan besar kepada graduan UTeM yang memasuki sektor minyak dan gas terutama dalam bidang operasi loji, penyelenggaraan peralatan berat, serta automasi dan sistem kawalan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |