Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Zanariah Abd Mutalib
Title :LKAN: 1,119 projek universiti penyelidikan melalui DPF kurang memuaskan, 151 bermasalah
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :24 Februari 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,119 projek bernilai RM148.04 juta dilaksanakan lima universiti penyelidikan melalui Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) didapati berada pada tahap kurang memuaskan, manakala 151 projek bernilai RM23.69 juta lagi pada tahap bermasalah. Perkara itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2023 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 bagi isu 'Pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental' yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini. Laporan itu menyatakan, sehingga 1 Disember 2023, sebanyak 2,077 projek penyelidikan DPF bernilai RM285.44 juta sedang dilaksanakan lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta dipantau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) "Daripada 2,077 projek penyelidikan itu, tahap kemajuan projek berstatus baik membabitkan 236 projek (11.3 peratus) bernilai RM35.74 juta, manakala 571 projek (27.5 peratus) bernilai RM77.97 juta adalah berstatus memuaskan," katanya. DPF adalah dana peruntukan tertinggi disalurkan KPT kepada universiti tempatan terdiri daripada empat skim geran iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental, (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS). DPF bertujuan melonjak kecemerlangan penyelidikan di Malaysia untuk penjanaan teori, konsep dan idea baharu, berpotensi diterjemah kepada penyelidikan transnasional yang memberi manfaat kepada masyarakat, akademia, industri, negara serta alam sekitar. Tempoh penyelidikan projek DPF bergantung kepada jenis skim geran, iaitu antara sembilan bulan hingga lima tahun, dan tempoh pelanjutan yang dibenarkan adalah maksimum enam bulan saja. Klasifikasi tahap "Baik" bagi kemajuan projek penyelidikan DPF adalah maju dengan amat baik; "Memuaskan" (mengikut jadual); "Kurang memuaskan" (lewat mengikut jadual atau perlu pemantauan lebih teliti) dan "Bermasalah" merujuk tidak mencapai sasaran (prestasi projek dan kewangan) mengikut perancangan serta projek dicadangkan untuk ditamatkan (jika sudah menerima dua kali amaran). Analisis Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati, USM mencapai tahap kemajuan projek baik tertinggi iaitu 206 projek (37 peratus) bernilai RM31 juta, manakala UKM mencapai tahap kemajuan projek memuaskan tertinggi dengan iaitu 200 projek (29.8 peratus) membabitkan nilai RM25.31 juta dan 339 projek (50.5 peratus) kurang memuaskan tertinggi bernilai RM52.61 juta. "Analisis lanjut mendapati UKM juga merekodkan tahap kemajuan projek bermasalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 111 projek (16.5 peratus) yang bernilai RM13.24 juta," katanya. Berdasarkan maklum balas terhadap 65 sampel daripada 151 projek bermasalah di lima universiti penyelidikan berkenaan, analisis audit mendapati punca projek penyelidikan DPF bermasalah, antara lain disebabkan projek penyelidikan lewat dilaksanakan atau tidak mengikut carta perbatuan yang dirancang dan diluluskan, selain prestasi perbelanjaan projek penyelidikan yang rendah. "Selain itu, universiti penyelidikan menghadapi kesukaran untuk mencari pelajar Sarjana atau PhD (doktor falsafah) yang berminat menjadi "Graduate Research Assistant" (GRA) bagi melaksanakan projek penyelidikan dan terdapat juga kekangan GRA yang tidak dapat memberikan komitmen terhadap projek. "Punca lain adalah penerbitan projek penyelidikan kurang memuaskan kerana tidak diterbitkan dalam jurnal terindeks seperti yang ditetapkan KPT dan tidak mengikut format," katanya. Laporan itu menyatakan, KPT menetapkan setiap projek penyelidikan DPF perlu mencapai empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu bagi penerbitan (artikel dalam jurnal terindeks), bakat (bergraduat), harta intelek dan prototaip.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035