|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang menyenaraikan tiga universiti awam (UA) sebagai antara lima agensi Persekutuan mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut tertinggi dari 2021 hingga 2023.
Tiga UA terbabit ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurut LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam, dua lagi agensi yang mencatat kerugian itu ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya masih mengumpul maklumat lanjut mengenai laporan itu.
"Saya perlu melihat balik 'details' (perincian) berkaitan tiga universiti awam itu (berkait laporan mencatat kerugian tiga tahun berturut-turut tertinggi).
"IPTA (institusi pengajian tinggi awam) sifatnya bukan berniaga, itu yang perlu kita tahu.
"Jadi apabila ada laporan berkaitan kerugian, ini perlu dilihat semula, rugi bagaimana. Saya akan memberikan perinciannya nanti," katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Program Tauliah Industri dan Profesional KPT (KPTiP), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Berdasarkan penjelasan disertakan dalam LKAN 1/2025, tiga UA berkenaan mengalami kerugian itu disebabkan geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri (yuran pelajar) tidak dapat menampung perbelanjaan operasi universiti.
Ia menyebabkan UMS mengalami kerugian RM141.41 juta pada 2023, meningkat berbanding RM89.47 juta pada 2022 dan RM89.31 juta (2021).
UPM pula merekodkan kerugian RM127.71 juta pada 2023 berbanding RM81 juta (2022) dan RM118.7 juta (2021), manakala USIM mencatat kerugian RM44.02 juta pada 2023, RM2.62 juta (2022) dan RM14.21 juta (2021). |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |