|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| LIPIS: Lebih 20,000 murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan daripada 97 sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang menerima bantuan tajaan makan tengah hari seimbang menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK) sejak Januari 2022.
Pengerusi Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata usaha bersepadu PROMAK yang dirangka BERNAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ini menyediakan lebih sembilan juta hidangan tengah hari dapat dinikmati murid sekolah terbabit.
Beliau berkata, program ini tidak meminggirkan mana-mana kumpulan B40 apabila manfaatnya turut sama diperluas kepada masyarakat Orang Asli dalam misi bersama-sama kerajaan menjayakan agenda nasional menangani isu malnutrisi murid sekolah rendah di negara ini.
"PROMAK diperluas lagi dengan tercapainya hasrat BERNAS menyantuni masyarakat Orang Asli dan memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada sumber pemakanan seimbang di sekolah.
"PROMAK menawarkan pelbagai menu pilihan yang dirancang khas mengikut keperluan pemakanan murid yang sedang membesar. (Ini kerana) makanan asas yang mencukupi dan seimbang untuk anak sedang membesar cukup penting untuk tumbesaran dan perkembangan mereka," katanya selepas Majlis Perasmian Program Makanan Kesihatan (PROMAK) peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Rohani berkata, SK Kuala Koyan menjadi sekolah Orang Asli pertama menerima bantuan tajaan makanan tengah hari di Pahang dan pihaknya akan memberikan pertimbangan sama ada BERNAS akan memperluas lagi manfaat itu kepada lebih ramai anak Orang Asli pada masa depan.
"Pahang adalah edisi terkini dalam senarai tajaan PROMAK membabitkan seramai 1,534 murid dari empat sekolah iaitu SK Pontian, SK Janglau, SK Rompin dan SK Kuala Koyan sejak Oktober lalu," katanya.
Beliau berkata, sejak PROMAK dilaksanakan, pihaknya mendapat maklum balas positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid berdasarkan rekod Data Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK).
"Sebagai contoh, rekod Data SEGAK di Kedah mencatatkan jumlah murid tertinggi mendapat manfaat PROMAK di 45 sekolah di negeri itu, menunjukkan tiga peratus penurunan dalam kalangan murid kurang berat daripada 12 peratus atau 634 murid pada 2023 kepada sembilan peratus atau 457 murid pada 2024," katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berharap lebih banyak syarikat swasta dapat mengikuti inisiatif seperti digerakkan BERNAS dalam bersama-sama kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan.
"Saya berterima kasih kepada BERNAS kerana membuat program seperti ini yang sangat baik dalam membantu golongan B40 mendapat makanan berzat.
"Saya percaya program seperti ini dapat menyumbang kepada kecerdasan otak murid, meningkatkan kehadiran mereka ke sekolah dan membantu menangani masalah bantut di Pahang.
"Ini contoh terbaik bagaimana kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan boleh memberikan impak positif kepada masyarakat setempat," katanya. – BERNAMA |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |