|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan penubuhan
Institut Antarabangsa Kajian Masa Hadapan (IIFS) bagi membawa idea berani dan inovatif.
Ketika melancarkan IIFS yang ditubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa institut terbabit mampu menjadi pemangkin kepada idea yang berani dan inovatif.
"Ia boleh dijayakan dengan tadbir urus yang kukuh dan ruang untuk pemikiran penyelidikan.
"Dengan komitmen yang berterusan, ia mampu mengangkat kedudukan IIUM sebagai peneraju global dalam kajian masa hadapan dan bidang lain yang berkaitan.
"Saya dengan ini memuji UIAM atas penubuhan IIFS. Penubuhan institusi seperti ini dalam sebuah universiti Malaysia dan Islam adalah tepat pada masanya serta amat penting," katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan penubuhan IIFS di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), di sini.
Di majlis yang sama, Perdana Menteri turut melanarkan dua jilid buku yang berjudul 'A Malik Bennabi Reader'.
IIFS adalah sebuah institut yang berperanan dalam meneroka perspektif masa depan dunia Islam melalui kajian strategik dan pelbagai disiplin ilmu.
Ia bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pemikiran Islam, falsafah, dan pembangunan global.
Sementara buku 'A Malik Bennabi Reader' pula diterjemahkan dan diulas oleh pensyarah dari AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS) UIAM, Prof Dr Mohamed El- Tahir El-Mesawi.
Ia menghimpunkan gagasan dan pemikiran Malik Bennabi, seorang pemikir Muslim abad ke-20 yang menekankan kepentingan reformasi intelektual dan spiritual bagi kebangkitan tamadun Islam.
Di ruangan kata pengantar, Perdana Menteri turut menyumbang penulisannya sebagai manifestasi penghargaan mendalam terhadap sumbangan intelektual Malik Bennabi dalam mengupas dan menangani pelbagai cabaran yang melanda dunia Islam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kajian masa hadapan bukanlah sekadar satu budaya sementara sebaliknya ia adalah disiplin yang kukuh dan semakin penting dari tahun ke tahun.
"Di bawah kepimpinan Profesor Ziauddin Sardar, Pusat Dasar Pascanormal dan Kajian Masa Hadapan memainkan peranan utama dalam membangunkan literasi masa hadapan di Malaysia.
"Pandangan daripada kajian masa hadapan, khususnya teori masa pasca-normal Profesor Sardar, mempengaruhi rangka kerja dasar seperti Malaysia MADANI.
"Saya berharap IIFS akan membina asas ini dengan melahirkan pemikir dan pembuat dasar yang bersedia menangani cabaran yang masih di luar jangkauan kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kerajaan memastikan kerangka tadbir urus MADANI menekankan aspek kebertanggungjawaban demokratik sebagai keutamaan tertinggi.
Beliau berkata, tanpa kebertanggungjawaban, demokrasi hanya menjadi retorik kosong yang mana nilai itu penting dalam ruang politik.
"Bennabi membayangkan demokrasi sebagai satu sintesis, yang mana demokrasi politik dan sosial bergabung untuk memastikan kebebasan serta maruah insan.
"Inilah hakikat demokrasi Islam iaitu satu sistem yang membebaskan manusia bukan saja daripada penindasan luaran, tetapi juga daripada kehambaan dalaman," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |