|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini, mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang baharu.
KPT menerusi kenyataan di sini berkata, pelantikan itu berkuat kuasa mulai 30 Januari lalu.
Katanya, pelantikan itu bagi menggantikan bekas Naib Canselor Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, yang sebelum ini menerajui UPNM.
"Berdasarkan pengalaman dan reputasi kepimpinan yang dimiliki oleh Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi, kementerian yakin beliau berupaya meneraju dan memperkasa tadbir urus UPNM.
"Ia terutama dalam mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan bagi melahirkan bakat terbaik negara khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara," katanya, hari ini.
Arman berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012
Beliau sebelum ini adalah Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 2022 dan pernah menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang.
Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada bekas Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018.
Sementara itu, KPT turut merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Leftenan Jeneral Mardzuki atas jasa bakti beliau menerajui UPNM sebelum ini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |