Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Ercy Gracella Ajos
Title :Ahmad Zahid lancar Garis Panduan Kampus Inklusif OKU UM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :01 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini melancarkan Garis Panduan Kampus Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Malaya (UM-inOKU). Garis panduan itu akan menjadi rujukan utama universiti awam (UA) di negara ini dalam menguruskan keperluan pelajar dan staf OKU di kampus. Universiti Malaya (UM) dalam kenyataan hari ini berkata, garis panduan itu merangkumi aspek tadbir urus, pengajaran dan pembelajaran, perkhidmatan sokongan, serta aksesibiliti dan ketersambungan persekitaran kampus. Menurut UM, inisiatif itu akan diperkukuh dan dibawa ke peringkat ASEAN bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini. Kenyataan turut memetik ucapan Ahmad Zahid dalam majlis pelancaran itu dengan menegaskan UM satu-satunya universiti yang mengambil langkah proaktif dalam memperjuangkan hak serta kebajikan mahasiswa dan staf OKU. Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman menyatakan kecemerlangan sebuah institusi bukan hanya diukur dari kejayaan akademik semata-mata tetapi juga dari keupayaannya untuk mencipta persekitaran yang inklusif dan menyokong semua lapisan warganya. "Dengan semangat mahabbah (kasih sayang), kami di UM berusaha memastikan setiap warga komuniti kampus, termasuk pelajar dan staf OKU, mempunyai peluang yang sama untuk berkembang dan menyumbang kepada masyarakat," katanya. Garis panduan itu disifatkan menjadi bukti kukuh terhadap komitmen UM dalam memastikan akses yang adil dan saksama bagi warganya, dengan membangunkan ekosistem kampus yang lebih mesra, terbuka dan inklusif. Sehingga kini, UM menempatkan seramai 98 pelajar dan 21 staf OKU, selain pelajar antarabangsa serta staf daripada pelbagai latar belakang. Garis panduan itu juga selari dengan teras keenam Malaysia MADANI, iaitu ihsan, yang menekankan belas ihsan terhadap semua pihak melalui tindakan pemberdayaan manusia. Penekanan terhadap penerapan nilai ihsan turut sejajar dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa prinsip ihsan perlu diterjemahkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam sektor pendidikan tinggi.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035