|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| “BUAT pertama kali dalam hidup, saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh dari keluarga yang berada di Kanada.
“Saya tidak tahu bagaimana suasana menjelang Syawal pertama di Malaysia nanti.
“Cuma apa yang saya harapkan ia berjalan dengan baik meskipun hati ini begitu rindu dengan seisi keluarga yang jauh beribu batu di kampung halaman.”
Itu luahan Marwan Sobh, 20, pelajar program pertukaran dari McGill University, Kanada yang kini berada di Universiti Malaya (UM).
Baru sahaja tiba di Malaysia sekitar hujung tahun lalu, ini menjadi tahun dan kali pertama dia menyambut Ramadan serta meraikan Syawal jauh dari keluarga tercinta.
“Ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara. Berdasarkan pengalaman saya sepanjang bulan Ramadan ini, saya dapat menjangkakan suasana yang penuh kemesraan dan kegembiraan bakal dilalui pada Syawal nanti.
“Pastinya saya merindui keluarga, tetapi masyarakat di sini sangat baik hati dan menerima saya dengan tangan terbuka,” katanya kepada K-Kampus.
Jelas pelajar Sarjana Muda Biokejuruteraan yang menjalani program pertukaran pelajar selama satu semester itu, perbezaan paling ketara adalah suasana komuniti di masjid yang jauh lebih meriah berbanding kampung halamannya.
Menurutnya, di Malaysia, orang ramai memberi makanan secara percuma untuk berbuka puasa dan ia sesuatu yang jarang berlaku di Kanada.
“Saya berharap suasana di masjid pada pagi Aidilfitri nanti lebih meriah sekali gus mengukuhkan lagi rasa kebersamaan dan dapat menghilangkan sedikit rasa rindu kepada keluarga.
“Meskipun saya orang baharu di sini, tetapi keramahan dan sikap saling membantu selain sifat pemurah rakyat di negara ini membuatkan saya sebahagian keluarga daripada mereka,” katanya.
Jika Marwan rindukan kampung, berlainan pula dengan perkongsian seorang lagi pelajar pertukaran antarabangsa di UM yang merupakan mahasiswa Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia, Hafizhah Dzakirah, 22.
Baginya menyambut Aidilfitri di negara jiran, Malaysia memang menjadi saat yang paling dinantikannya.
Meskipun pertama kali menyambutnya, dia menyatakan keterujaan menyambut Syawal di negara serumpun lain.
“Saya sangat teruja kerana ini akan menjadi Syawal pertama saya berada di Malaysia.
“Saya ingin melihat sendiri perbezaan Syawal di sini dengan sambutan di Indonesia.
“Pada masa sama, saya juga tidak sabar memakai baju kurung dan bertemu rakan-rakan baharu dari pelbagai latar belakang budaya di sini,” kata pelajar Sarjana Muda Ekonomi dan Kewangan Islam itu.
Baginya, meskipun berjauhan dengan keluarga, kecanggihan teknologi memudahkan hubungan kekal erat sekali gus menghilangkan rasa rindu.
“Pastinya saya akan merindui keluarga di kampung, tetapi ia bukan masalah yang besar kerana saya sentiasa boleh menghubungi mereka.
“Makanan di sini juga hampir serupa dengan yang ada di Indonesia, jadi saya tetap dapat menikmati hidangan yang mengingatkan saya di kampung,” katanya.
Tambahnya, meskipun berjauhan dari keluarga, mereka sebagai pelajar tetap boleh merasakan kemeriahan serta kehangatan suasana Aidilfitri seperti di negara asal.
Tidak kira dari mana asal mereka, setiap pelajar antarabangsa yang menyambut Aidilfitri di Malaysia pastinya dapat merasakan kehangatan lebaran di sini.
UM sendiri misalnya menganjurkan program Jom Raya, sebuah inisiatif oleh International Student Centre (ISC) untuk memastikan pelajar pertukaran tidak berasa keseorangan ketika musim perayaan.
Pegawai ISC, Farra Nabilla Mokhlis berkata, pada tahun lalu pihaknya telah menganjurkan program Jom Raya khusus bagi pelajar pertukaran dan suasananya disambut meriah ratusan pelajar terlibat.
“Ramai rupanya yang pertama kali mencuba lemang dengan rendang daging dan rata-rata mereka menyukainya.
“Kami berharap dapat mengadakan dan meneruskan acara yang serupa tahun ini bagi memastikan semua pelajar pertukaran dapat menikmati keindahan Aidilfitri bersama.
“Sambutan Aidilfitri di perantauan mungkin berbeza, tetapi intipatinya tetap ‘kekal berhubung’ dalam suasana saling meraikan perbezaan dan menghidupkan semangat persaudaraan,” katanya.
Selain itu, kemeriahan sama turut dirasakan pelajar luar negara di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Sulaiman Khan, 27, pelajar sarjana di Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMPSA sudah berpengalaman tiga kali menyambut Syawal di Malaysia.
Menurutnya, keakraban dan keramahan masyarakat di Malaysia menjadikan ia pengalaman yang sukar dilupakan meskipun dirinya merindui keluarga dan tradisi menjelang Aidilfitri di tanah airnya.
Bagi Sulaiman yang berasal dari Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, pengalaman menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia, khususnya di kampus merupakan pengalaman unik dan bermakna.
“Jujur saya katakan, meskipun sudah tiga kali menyambut Syawal di sini, perasaan teruja itu tetap ada dan benar-benar sudah mula terasa kini.
“Paling saya suka beraya di Malaysia kerana dapat menghadiri rumah terbuka yang diadakan pihak universiti selain menikmati juadah tradisional Melayu.
“Persiapan lebaran saya setakat ini sudah hampir 80 peratus siap. Saya telah membeli pakaian baharu dan tidak sabar menyertai rakan-rakan Islam lain menyambut Aidilfitri di bumi bertuah Malaysia ini,” ujarnya.
Menyentuh pengalaman Ramadan, Sulaiman berkata, suasana Ramadan di Malaysia jauh lebih meriah dengan iftar berjemaah dan solat tarawih yang mengeratkan ukhuwah.
“Cara masyarakat di Malaysia berkumpul untuk solat dan berbuka puasa bersama mencipta suasana harmoni yang istimewa.
“Solat tarawih di Malaysia tersusun dengan baik dan masjid sentiasa penuh, berbeza sedikit dengan negara saya di mana Ramadan lebih tertumpu kepada keluarga,” katanya yang berkesempatan menyertai beberapa aktiviti sepanjang Ramadan di UMPSA termasuklah program iftar berjemaah yang disifatkan suatu pengalaman luar biasa apabila pelajar dan pensyarah berbuka puasa bersama.
Sementara itu, bagi Abdelrahman Mohamed, 30, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) asal Mesir ini, dia juga ada pengalaman tersendiri yang ingin dikongsikan pada lebaran lalu.
“Saya biasanya menyambut Aidilfitri di asrama, tetapi terdapat banyak rumah terbuka kerana di Malaysia, Aidilfitri disambut selama 30 hari.
“Setiap hari, fakulti yang berbeza akan menjemput saya ke rumah terbuka mereka dan kami berkumpul sambil mengenakan baju Melayu sekali gus menikmati suasana Ramadan dan Syawal bersama,” katanya.
Menyentuh mengenai Ramadan, Abdelrahman berkata, bulan itu sangat mencabar tanpa keluarga di sisi, tetapi di UMPSA terdapat banyak aktiviti yang menjadikan pengalaman ini lebih baik.
“Saya pernah menyertai staf untuk menyediakan makanan di masjid UMPSA kampus Gambang, di mana setiap hari satu fakulti atau organisasi akan bertanggungjawab menyediakan juadah iftar,” katanya.
Selain itu, terdapat juga bazar Ramadan dan dia juga pernah menjual manisan Arab bersama rakan-rakan seperjuangannya.
“UMPSA juga menyediakan makanan percuma untuk iftar dan moreh setiap hari yang membantu mengeratkan hubungan antara pelajar sepanjang Ramadan.
“Satu lagi pengalaman menarik bagi saya adalah dapat menunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah di Masjid Negeri di Kuantan.
“Paling bertuah, baru-baru ini saya juga berpeluang bersalaman dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim yang juga Pro Canselor UMPSA dalam majlis pemasyhuran masjid UMPSA yang dinamakan sebagai Masjid Al-Jazari. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |