|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| LIPIS: Sistem Pelaporan Kredit Angkasa (SpEKAR) mampu membantu syarikat pemberi pinjaman untuk menilai status kredit penjawat awam sama ada mereka layak untuk memohon pinjaman atau sebaliknya.
Sehubungan itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedia menawarkan kepada syarikat pemberi pinjaman untuk menggunakan sistem itu, bagi mengelak risiko penjawat awam terjebak situasi bankrap akibat komitmen hutang pinjaman berlebihan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata Sistem SpEKAR membantu dalam menguruskan kelayakan pemohon untuk mendapatkan kelulusan pinjaman, sekali gus mengelak risiko tinggi peminjam tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.
"SpEKAR adalah satu sistem pemarkahan kredit yang boleh digunakan syarikat pemberi pinjaman untuk membuat penilaian awal terhadap pemohon pinjaman sama ada daripada institusi perbankan, koperasi atau syarikat kredit, pajak gadai dan sebagainya.
"Sistem ini boleh digunakan sebagai pusat sehenti untuk memeriksa kredit individu yang melakukan urus niaga dengan institusi kewangan bagi memastikan pemohon pinjaman mempunyai tahap kredit yang baik dan tidak membebankan mereka dengan pinjaman baharu yang melebihi kemampuan mereka untuk membayar balik," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Pahang di Kampung Lubuk Kulit, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk M Bakri Abd Majid, mengenai penjawat awam yang melakukan pinjaman bank 'luar biasa' yang tidak lagi mampu membayar pinjaman semula.
Abdul Fattah berkata, isu peningkatan masalah kebankrapan dalam kakitangan kerajaan dapat diatasi sekiranya semua syarikat pemberi pinjaman menggunakan SpEKAR.
"Kebanyakan penjawat awam mempunyai jaringan kredit melalui koperasi yang mana Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) merupakan komponen utama dalam SpEKAR," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |