|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| MENYARUNG jubah konvokesyen dan naik ke pentas menerima skrol sijil atau ijazah ketika majlis konvokesyen merupakan detik-detik indah bagi kesemua pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
Malah, ada yang tidak melepaskan peluang untuk merakam momen bersejarah mengenakan jubah konvokesyen itu bersama keluarga tersayang untuk dijadikan satu kenangan.
Itulah yang kita sering lihat apabila tibanya musim konvokesyen baru-baru ini di mana para graduan berkongsi detik-detik indah itu dengan memuat naik gambar-gambar mereka di laman sosial masing-masing untuk berkongsi kegembiraan menamatkan pengajian.
Majlis konvokesyen merupakan sesuatu yang dinanti oleh para graduan kerana ia menjadi tanda bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan pengajian setelah bertungkus lumus untuk tempoh tiga hingga empat tahun di menara gading mengejar impian masing-masing.
Di Malaysia, semua individu boleh mengejar impian mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi kerana banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyediakan peluang tersebut.
Malah di Malaysia, Universiti Malaya telah menjadi institusi pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1962.
Selepas itu, banyak lagi universiti yang ditubuhkan bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.
Bukan itu sahaja, banyak universiti di Malaysia berada pada kedudukan yang baik dalam World University Rankings (WUR). Di Asia Tenggara juga Malaysia unggul apabila lapan daripada 15 universiti terbaik ASEAN adalah universiti negara ini sebagai mana yang dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings Jun lalu.
Selalunya kedudukan universiti dinilai melalui QS dan juga The Higher Education (THE) World University Rankings. Penarafan daripada kedua-dua pihak ini mempunyai metodologi pengukuran yang berbeza.
Keluaran sulung K-Kampus menyenaraikan 10 universiti terbaik di Malaysia mengikut kedudukan terbaharu disenaraikan THE World University Rankings 2025.
Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Berdasarkan THE World University Rankings 2025, UTP berada pada kedudukan No.1 di Malaysia dan dalam kelompok 201-250 universiti terbaik dunia.Pencapaian itu luar biasa dan melonjakkan UTP ke kelompok 201-250 berbanding kelompok 301-350 tahun sebelumnya. UTP yang terletak di Seri Iskandar, Perak juga melonjak 16 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-53 dalam QS Asia University Rankings 2025.Ditubuhkan pada 1997, UTP menawarkan pengalaman pendidikan bertaraf dunia, penyelidikan berimpak dan menghasilkan graduan sangat dicari industri di seluruh dunia. Jurusan popular, lazim atau cemerlang: Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Mineral dan pelbagai bidang kejuruteraan (terkini memperkenalkan jurusan Kejuruteraan Bersepadu).
2. Universiti Malaya (UM)
Biarpun UM merupakan universiti di kedudukan No.1 terbaik dalam ranking QS, dalam ranking THE, UM menjadi universiti kedua terbaik Malaysia dengan berada dalam kelompok 251-300 universiti terbaik dunia.UM telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1962 sebagai institusi pengajian tinggi pertama di negara ini.Sejak penubuhannya, UM telah melahirkan ramai graduan di peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi dalam pelbagai bidang pengkhususan.Malah, alumni UM telah menyandang pelbagai jawatan dan memainkan peranan penting antaranya Perdana Menteri Malaysia, menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan, diplomat dan pakar ekonomi. Jurusan popular, lazim atau cemerlang: Perubatan, Pergigian, Undang-Undang dan Kejuruteraan Mekanikal.
3. Universiti Sunway
Universiti Sunway di kedudukan ketiga terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok 401-500 universiti terbaik dunia.Universiti Sunway pada asalnya ditubuhkan pada 2004 sebagai Kolej Universiti Sunway. Pada 2011, ia diberi status universiti penuh.Jurusan popular, lazim atau cemerlang: Media dan Komunikasi (termasuk pengiklanan, penjenamaan dan rekaan grafik).
4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
UKM berada dalam kelompok 401-500 universiti terbaik dunia. Selain itu, UKM juga telah menunjukkan peningkatan cemerlang dalam QS World University Rankings 2025 dengan kedudukan 138 berbanding 159 pada tahun lalu.Ini juga mencerminkan usaha berterusan universiti yang ditubuhkan pada tahun 1970 itu dalam meningkatkan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global.Peningkatan tersebut semestinya memberi dorongan kepada UKM untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi lagi dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Jurusan popular atau lazim adalah Pentadbiran Perniagaan (sesi ambilan 2024/2025 jurusan ini menerima permohonan paling ramai).
5. Universiti Sains Malaysia (USM)
USM turut berada dalam kelompok 401-500 universiti terbaik dunia mengikut THE World University Rankings 2025. Ditubuhkan pada 1969, USM merupakan universiti kedua ditubuhkan di negara ini.Universiti ini mengkhusus dalam sains dan beberapa disiplin saintifik, termasuk sains semula jadi, sains perubatan serta sains dan teknologi bangunan, bersama-sama dengan kursus dalam seni, kemanusiaan dan pendidikan.Di samping tiga kampus akademik universiti, ia juga memiliki 17 pusat penyelidikan khusus antaranya untuk bidang arkeologi, penyelidikan dasar dan kajian antarabangsa.
6. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
UTM turut berada dalam kelompok 401-500 universiti terbaik di dunia.UTM ialah universiti penyelidikan awam dengan tumpuan kepada kejuruteraan, sains dan teknologi. Ia menawarkan pelbagai kursus daripada seni bina dan perakaunan, kepada kejuruteraan elektrik dan pengajian Islam.Misi UTM untuk membangun bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.
7. Universiti Utara Malaysia (UUM)
UUM turut tersenarai sebagai universiti terbaik Malaysia dan berada berada dalam kelompok 401-500 universiti terbaik di dunia. Ia merupakan sebuah universiti awam yang ditubuhkan pada tahun 1984 di Sintok, Kedah.Visi utama UUM adalah untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka dan misinya adalah untuk mendidik pemimpin berperwatakan holisktik untuk berbakti kepada komuniti global.Malah, pada Mei lalu UUM juga diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024. Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam di bawah usia 50 tahun terbaik di Malaysia.
8. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
UMPSA merupakan universiti ke-8 terbaik di Malaysia dan ia berada dalam kelompok 601-800 universiti terbaik di dunia.Ia bermula dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) pada 2004 sebelum dinaik taraf Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2017. Ia kemudian dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah tahun lalu.Jurusan popular atau lazim: Kejuruteraan, Sains, Pengurusan dan TVET aras tinggi.
9. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
UPSI yang terletak di Tanjung Malim, Perak turut tersenarai universiti terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok 601-800 universiti terbaik di dunia.Sejarah awalnya bermula dengan penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922 yang bertujuan menyediakan latihan ikhtisas keguruan untuk anak-anak tempatan.Pada tahun 1959, SITC diubah namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) sebagai memenuhi keperluan melatih bakal guru untuk sekolah-sekolah rendah.Pada 1987 ia dinaik taraf Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) yang juga langkah permulaannya menjadi sebuah universiti sebelum diwartakan menjadi UPSI pada 1997.
10. Universiti Putra Malaysia (UPM)
UPM juga antara universiti terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok 601-800 universiti terbaik di dunia.UPM bermula sebagai Sekolah Pertanian pada 1931 sebelum bertukar Universiti Pertanian Malaysia. Pada 1997, nama universiti ditukar dari Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia. Nama ditukar bagi menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi pelbagai bidang terutama sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan pembangunan negara.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |