|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ARAU: Malaysia mampu melahirkan 60,000 jurutera dalam pelbagai yang diperlukan syarikat antarabangsa dan tempatan hasil kejayaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksana secara berterusan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain berjaya menyediakan program TVET kepada pelajar, institusi kerajaan juga kini menawarkan kursus peningkatan kemahiran (upskilling) kepada pekerja mahir sedia ada.
Jelasnya, kursus peningkatan kemahiran ini berjaya menjadikan pekerja tempatan kepada pekerja mahir tinggi sehingga mereka ditawarkan gaji lumayan di dalam dan luar negara.
"Mengambil contoh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), institusi ini berjaya membekalkan pekerja mahir terutama dalam bidang Elektrik dan Elektronik (E&E) yang menjadi antara eksport terbesar kepada negara.
"Disebabkan itu, kita sangat memerlukan ramai tenaga kerja dalam bidang ini dan UniMAP menjadi antara penyumbang utama kepada graduan dalam bidang E&E ini.
"Pada masa sama, UniMAP juga telah menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dan termasuk dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang diyakini dapat membawa negara ke hadapan dalam bidang AI," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara penerima manfaat kepada program peningkatan kemahiran pekerja yang disediakan UniMAP adalah pihak industri di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech).
Katanya, pemain industri ini mendapat jaminan di mana mereka mendapat pekerja mahir dan profesional dalam bidang E&E secara berterusan hasil latihan yang disediakab UniMAP.
"UniMAP sebagai Pusat Latihan TVET dilihat berada di barisan hadapan untuk memaju kewujudan 60,000 jurutera yang diperlukan pasaran hasil kejayaan program TVET Tinggi.
"Berikutan itu, Majlis TVET Negara meluluskan peruntukan RM1 juta kepada UniMAP dengan RM200,000 digunakan bagi mengendalikan kursus berkaitan E&E dan RM800,000 untuk membeli perkakas dan peralatan untuk latihan.
"Latihan peningkatan kemahiran yang dibuat UniMAP membolehkan graduannya mendapat gaji premium dengan kebolehpasaran graduannya mencapai 98.8 peratus," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya sudah mengkordinasikan mesyuarat bersama universiti MTUN dan MTUN Plus dalam merangka perancangan memperkukuh Fakulti AI di negara ini.
"Setakat ini ada enam universiti MTUN dengan UniMAP adalah salah satunya, kita sudah mengkoordinasikan mesyuarat bagi memperkasakan Fakulti AI.
"Ini adalah bagi penyelarasan pengeluaran tenaga profesional terutama dalam bidang kejuruteraan terutama di saat negara masih memerlukan 60,000 jurutera dalam pelbagai bidang," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |