Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Nurshafika Suhaimi
Title :Taylor's University lancar program PPE pertama Malaysia
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :17 Mac 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SUBANG JAYA: Universiti terkemuka, Taylor's University sekali lagi melakar sejarah baharu apabila melancarkan program Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) (Kepujian) yang pertama di Malaysia, menjadikannya sebagai penanda aras baharu bagi pendidikan interdisiplin. Ijazah sarjana muda tiga tahun ini bertujuan mewujudkan generasi pemimpin dan pemikir baharu yang bersedia untuk menangani cabaran global serta transformasi industri. Merapatkan jurang kemahiran kritikal Laporan Forum Ekonomi Dunia (2023-2027) menunjukkan 50 peratus syarikat kini mengutamakan kemahiran pemikiran kritis, analitikal dan kepimpinan. Namun, majikan sering kali sukar untuk mendapatkan siswazah yang memiliki kemahiran-kemahiran ini. Program PPE di Taylor's University bertujuan mengisi jurang tersebut dengan menawarkan gabungan kecemerlangan akademik dan aplikasi praktikal. Pelajar akan menangani isu-isu penting seperti tadbir urus, kestabilan ekonomi, kemampanan, dasar global dan keadilan sosial, bagi menyediakan asas yang kukuh dalam menghadapi cabaran sosio-politik dan ekonomi yang kompleks. Pro Naib Canselor Penglibatan Luar Taylor's University, Profesor Dr Ong Kian Ming, berkata dalam dunia yang dinamik ini, pengkhususan dalam pelbagai bidang memberikan daya saing yang kompetitif. "Antara cabaran terbesar yang kami dengar daripada pemimpin industri ialah kebanyakan siswazah tidak 'bersedia untuk dunia pekerjaan' kerana kurangnya pemikiran kritis dan pendekatan pelbagai perspektif yang diperlukan untuk menangani isu global yang kompleks, termasuk isu-isu polisi awam di tempat kerja. "Menyedari perkara ini, kami telah merangka program PPE dengan menggabungkan kecemerlangan akademik dengan penglibatan industri, melengkapkan pelajar dengan kemahiran analitikal, pandangan strategik, dan pertimbangan beretika yang diperlukan untuk memacu kemajuan dalam dunia yang sentiasa berubah," katanya. Rangkaian industri yang kukuh untuk pembelajaran dunia sebenar Kekuatan utama program PPE Taylor's terletak pada Panel Penasihat Industri (IAP) yang diterajui oleh Profesor Dr Ong Kian Ming. IAP terdiri daripada penggubal polisi, ahli ekonomi, pemimpin korporat, dan ahli akademik terkemuka seperti Khairy Jamaluddin, Tony Pua, Profesor Farish Noor, Dr Tricia Yeoh, Dr Lee Hwok-Aun, Shahril Hamdan dan lain-lain, yang memberikan bimbingan, kerjasama penyelidikan, dan penglibatan industri eksklusif untuk menghubungkan teori dengan aplikasi praktikal. Dr Deboshree Ghosh, Pengarah Program PPE, menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memastikan keberkesanan program ini. "Keunikan utama program PPE kami adalah hubungan erat dengan industri. IAP berperanan penting dalam memberi pendedahan kepada siswazah melalui pandangan pemimpin dalam politik, perniagaan, dan tadbir urus. "Pengalaman mereka melengkapkan pembelajaran berstruktur program ini, memastikan siswazah kami bersedia dengan kemahiran membuat keputusan strategik dan penyelesaian masalah untuk berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya, "katanya.   Permintaan terhadap siswazah PPE di dunia hari ini Majlis pelancaran di Taylor's Lakeside Campus menampilkan forum eksklusif dikendalikan oleh Profesor Dr Ong Kian Ming, bersama ahli-ahli IAP terkemuka seperti bekas Menteri Kesihatan dan Hos Bersama Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin, Pengasas & Pengarah Urusan Watchtower Advisory dan Hos Bersama Keluar Sekejap, Shahril Hamdan, Profesor Madya bagi Amalan di Nottingham University, Malaysia dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh, dan Profesor Madya Ekonomi dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Perniagaan Asia, Dr Melati Nungsari. Perbincangan mereka memfokuskan bagaimana pendidikan PPE menangani jurang kemahiran kritikal dalam polisi awam, tadbir urus, ekonomi, dan perniagaan, melengkapkan siswazah dengan peranan kepimpinan di Malaysia dan di peringkat seterusnya. Menekankan kepentingan program PPE, Profesor Farish Noor, ahli Panel Penasihat Industri dan seorang cendekiawan berharap program ini dapat melahirkan siswazah yang bukan sahaja memahami isu semasa, tetapi juga mampu melihat politik global dengan pemahaman yang mendalam. "Dunia semakin kompleks dan memerlukan analisis menyeluruh, yang hanya dapat dicapai melalui pendekatan pelbagai disiplin dengan menggabungkan sains politik, ekonomi, dan falsafah," katanya.  Taylor's University kini membuka permohonan bagi pengambilan April dan September 2025, dengan menawarkan biasiswa 100 peratus bagi yuran tuisyen untuk kedua-dua pengambilan, ataupun bursari eksklusif sebanyak 10 peratus untuk kohort pertama pengambilan April.   Untuk maklumat lanjut, sila layari Taylor's University.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035