|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| IPOH: Situasi tegang di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pagi tadi hanyalah latihan simulasi dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pengurusan politeknik itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata situasi itu adalah senario latihan skala kecil 'Ops Kurung' bagi menguji kesiapsiagaan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Beliau berkata, simulasi itu dikendalikan Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas PDRM yang dijalankan bertujuan mengurus dan mengendalikan krisis keganasan seperti digariskan dalam arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Latihan seumpama ini dilaksanakan dari masa ke semasa untuk menguji keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis keganasan bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan menyebarkan spekulasi tidak tepat berkaitan kejadian dan latihan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata, latihan bermula jam 9 pagi tadi dimulakan dengan laporan dibuat pengawal keselamatan PUO kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkaitan serangan kumpulan bersenjata yang tidak dikenal pasti dengan menjadikan seorang pensyarah dan beberapa pelajar sebagai tebusan.
Katanya, 'ketegangan' lebih memuncak dengan kehadiran jumlah petugas PDRM yang ramai, kenderaan pasukan keselamatan serta kesihatan termasuk pesawat helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di kawasan PUO dan sekitarnya.
"Ia adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerak Khas PDRM di politeknik terbabit," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video yang dirakam oleh pelajar PUO yang memaparkan situasi tegang apabila kelihatan beberapa individu memakai topeng muka dan bersenjata api seakan-akan menduduki bangunan PUO, manakala pelajar bergegas mengosongkan bangunan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |