|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Empat hentian Rehat dan Rawat (R&R) sementara akan dibina minggu depan, di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata empat R&R itu, masing-masing dua di Bentong serta masing-masing satu di Raub dan Lipis dijangka siap sebelum Aidilfitri.
Katanya, keputusan membina hentian R&R sementara itu selepas menerima banyak aduan daripada pengguna LTU yang berdepan kesukaran berikutan tiada kemudahan seperti tandas dan tempat berehat.
"Untuk mempercepatkan kemudahan R&R ini, kita membuat keputusan menggunakan peruntukan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mendapatkan kembali peruntukan daripada Kerajaan Pusat.
"Kita jangka pembinaan empat R&R ini akan siap empat atau lima hari sebelum Aidilfitri," katanya pada sidang media pembayaran dividen unit ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
Ditanya status R&R kekal di LTU, Wan Rosdy berkata, pembinaan kemudahan itu dalam perancangan Kerajaan Pusat tetapi belum mendapat keputusan tarikh pelaksanannya.
"R&R tetap akan dibina dan dengan kemudahan hentian R&R sementara ini diharap membantu dalam tempoh jangka pendek untuk keselesaan pengguna.
"Oleh itu, dengan kemudahan sementara ini, saya menasihati pengguna LTU menjaga kebersihan terutama membuang sampah di tempat disediakan.
"Semua pengguna dinasihati berhati-hati ketika memandu, periksa kenderaan sebelum ke destinasi dan gunakan R&R ini untuk berehat jika mengantuk," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |