|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) meneruskan tradisi menyemarakkan bulan Ramadan dengan menganjurkan Majlis Pelancaran Sambutan Program Ihya' Ramadan 2025 di Dewan Canselor, kampus induk MSU, di sini, baru-baru ini.
Majlis dirasmikan, Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid. Yang turut hadir, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.
MSU dalam kenyataan berkata, sambutan ini mendapat sokongan padu dengan kehadiran lebih 2,500 warga universiti, termasuk pelajar dan kakitangan.
Bertemakan 'Satu Hari, Satu Kebaikan' (One Day One Kindness – 1D1K), program ini bertujuan memupuk semangat prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik dengan menekankan konsep 'Memberi dan Bersyukur' melalui pendekatan lestari, bagi memberikan impak menyeluruh kepada komuniti.
"Sebanyak 354 aktiviti dirancang sepanjang program Ihya' Ramadan MSU 2025 dan ia dilaksanakan melalui kerjasama di antara Jabatan Pembangunan Pelajar & Kerjaya (SCD), bersama dengan fakulti dan jabatan di MSU dan Kolej MSU.
"Aktiviti ini dikategorikan kepada lima kluster iaitu Ramadan Care, Ramadan Share, Ramadan Vibe, Ramadan Connect dan Ramadan Recharge," kata MSU.
Ramadan Care memfokuskan kepada perkara kebaikan, aktiviti Kebajikan serta membantu golongan kurang berkemampuan manakala Ramadan Share menggalakkan sikap kedermawanan, infaq dan aktiviti jalinan komuniti selari dengan budaya 2G.
Ramadan Vibes pula menyemarak dan memeriahkan suasana dan sambutan bulan Ramadan.
Sementara, Ramadan Connect menumpukan perlaksanaan aktiviti bersama komuniti sekolah, rakan industry dan pihak berkuasa.
Akhir sekali, Ramadan Recharge iaitu pelaksanaan aktiviti berbentuk pembangunan diri, penyucian jiwa serta kesejahteraan fizikal dan mental.
MSU turut memaklumkan, aktiviti utama yang dijadualkan termasuk iftar harian membabitkan lebih 1,000 orang, pengagihan Zakat Yayasan MSU, bazar Ramadan, tarawih, dan qiamullail. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |