Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :FADILA AWALUDIN
Title :Teknologi pembayaran tapak tangan pertama di Malaysia
Faculty :Kosmo
Year of Publication :9 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
MELAKUKAN transaksi pembayaran di kaunter menggunakan tapak tangan mungkin dilihat sebagai salah satu aksi daripada filem fiksyen popular. Bagaimanapun, kaedah tersebut tidak lagi boleh dianggap fantasi kerana OpenSys Technologies Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat OpenSys (M) Bhd. telah memperkenalkan kaedah pembayaran menggunakan tapak tangan menerusi aplikasi PalmWav. Biarpun masih dalam fasa prototaip, inovasi baharu itu bakal meneroka penggunaan teknologi pengecaman tapak tangan untuk pembayaran tanpa peranti di negara ini. Teknologi tersebut menunjukkan keserasian dengan infrastruktur pembayaran sedia ada termasuk rangkaian MyDebit di bawah PayNet, sekali gus membuka ruang kepada kaedah transaksi lebih mudah, selamat dan intuitif. Pengenalan PalmWav juga membuktikan transformasi digital terhadap usaha OpenSysTechnologies dalam bidang pembayaran digital yang lebih kondusif untuk memudahkan para pengguna. Dengan PalmWav pengguna hanya perlu mengimbas tapak tangan di atas alat khas untuk membuat bayaran tanpa keperluan membawa telefon pintar, kad fizikal atau dompet. Pendekatan ini bukan sahaja melengkapi kaedah pembayaran tradisional, malah berpotensi mengubah cara pengguna berinteraksi dengan sistem pembayaran harian.   Dikuasakan oleh inovasi kecerdasan buatan Tencent Cloud, PalmWav menggunakan sistem pengecaman tapak tangan untuk menghasilkan ‘palm signature’ yang unik bagi memastikan setiap data dilindungi dan mengelakkan kesulitan ketika pembayaran dilakukan. Proses pengesahan identiti hanya mengambil masa beberapa saat dan ia dibangunkan mengikut piawaian keselamatan perlindungan data yang maksimum selain memastikan setiap transaksi diproses secara masa nyata. Ketua Pegawai Komersial Kumpulan OpenSys, Denis Koay memberitahu, pihaknya sangat optimis dalam membangunkan kaedah pembayaran moden seiring perkembangan semasa. “PalmWav mencerminkan komitmen syarikat dalam meneroka teknologi baharu yang mampu mentakrifkan semula pengalaman pembayaran digital di Malaysia. “Keupayaan untuk membuat bayaran menggunakan tapak tangan menggambarkan pengalaman tanpa batasan yang kami bayangkan untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, bagi Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys Technologies, Wong Siew Pooi, gabungan kepakaran Tencent Cloud dan pengetahuan mendalam syarikat terhadap landskap pembayaran negara menjadikan PalmWav satu inovasi yang mampu mendorong transaksi tanpa peranti pada masa depan. “Projek perintis ini mengukuhkan dedikasi OpenSys Technologies terhadap penyelidikan dan inovasi sambil menyokong perkembangan ekonomi digital negara. “Syarikat akan terus menilai potensi pembayaran berasaskan biometrik ini dalam pelbagai sektor bagi memahami penggunaan dalam aplikasi dunia sebenar pada masa akan datang,” ujarnya. Bagi menggunakan aplikasi tersebut, pengguna hanya perlu membuat pendaftaran di PalmWav dan seterusnya membuat transaksi pembayaran di kedai rakan niaga berdaftar. PalmWav menawarkan kelebihan seperti transaksi pantas dan tanpa geseran, penggunaan tanpa sebarang peranti, privasi terjamin serta proses pendaftaran yang mudah. Sementara itu, bagi peniaga pula, teknologi ini berpotensi mempercepatkan urusan pembayaran, mengurangkan kesesakan semasa waktu puncak dan meningkatkan tahap kebersihan kerana melakukan transaksi bebas sentuhan. Bagi melihat potensi kemudahan dan kebolehpercayaan di situasi sebenar, sesi demonstrasi awal telah dibuat oleh OpenSys bersama rakan strategik iaitu kafe Kom.Fi dan Bread Maison. Selain bakal diperkenalkan di Malaysia, kaedah pembayaran menggunakan tapak tangan sudah pun digunakan di China dan Amerika Syarikat.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035