|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PERKEMBANGAN pesat teknologi masa kini khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menuntut manusia untuk kembali menilai dan memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Kemajuan teknologi yang begitu pantas membuka banyak peluang baharu, namun pada masa sama berpotensi menimbulkan kesan negatif jika digunakan tanpa panduan etika yang kukuh.
Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ariyanti Mustapha berkata, pemerkasaan etika dalam penggunaan AI perlu digerakkan seiring dengan pembangunan teknologi agar kecanggihan yang dikecapi tidak membawa kepada kemerosotan nilai moral dalam masyarakat.
“Kerajaan Malaysia turut menekankan kepentingan penggunaan AI yang berlandaskan prinsip kemanusiaan dan nilai syariah.
“Matlamat utamanya adalah memastikan teknologi digunakan untuk meningkatkan kreativiti, memupuk keharmonian dan memperkaya semangat kemanusiaan,” katanya menerusi perkongsian kepada K-Tekno baru-baru ini.
Tambahnya, pendekatan ini selaras dengan maqasid al-syariah yang menekankan penjagaan akal, maruah dan kemaslahatan sejagat.
Apabila teknologi dimanfaatkan secara beretika, ia bukan sahaja melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berakhlak, malah mampu memberikan impak besar kepada pembangunan negara.
Pada era digital ini, penggunaan AI telah merentasi semua lapisan umur, kedudukan dan lokasi.
Teknologi itu kini menjadi keperluan dalam sektor pendidikan, pengangkutan, komunikasi, ekonomi, kesihatan dan pertanian.
Kongsi Ariyanti lagi, kebolehannya dalam meningkatkan produktiviti dan memudahkan kehidupan membuktikan bahawa AI bukan lagi sekadar pilihan tetapi sebahagian daripada rutin kehidupan moden.
“Namun, perkembangan ini menuntut kebijaksanaan manusia untuk memastikan teknologi digunakan sebagai alat yang menyempurnakan keupayaan insan, bukan mendominasi atau menggantikan pertimbangan akliah.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan hal ini ketika Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada Oktober lalu. Beliau menegaskan bahawa AI harus berperanan sebagai mekanisme yang berkhidmat kepada manusia, bukannya menenggelamkan nilai kemanusiaan,” ujarnya.
Integrasi antara kepintaran manusia dan kecerdasan buatan perlu terus dipertahankan agar setiap keputusan yang dibuat tidak diserahkan sepenuhnya kepada mesin, sebaliknya dipandu oleh kebijaksanaan, etika dan nilai kemasyarakatan.
Katanya lagi, dalam usaha memperkukuh etika penggunaan AI, kerangka TAQIT berasaskan nilai Islam turut diketengahkan sebagai panduan menyeluruh. TAQIT merangkumi konsep Tabayyun (verifikasi maklumat), Akhlak (budi pekerti dalam komunikasi digital), ‘Aql (rasional membuat keputusan), Integriti (kejujuran dan amanah) serta Takwa (kesedaran spiritual bahawa setiap tindakan diperhatikan Tuhan).
Prinsip-prinsip ini bersifat universal dan sejajar dengan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada semua agama dan budaya.
“Pendekatan berteraskan TAQIT menegaskan bahawa AI hanyalah alat bantu, bukan penentu takdir atau pengganti kebijaksanaan manusia.
“Oleh itu, masyarakat perlu menggunakan teknologi dengan penuh hemah, pertimbangan rasional dan kesedaran etika,” terangnya.
Ujarnya lagi, pengawalan manusia tetap menjadi elemen penting dalam memastikan AI tidak menjejaskan nilai kemanusiaan atau membawa kepada kebergantungan melampau.
Pembangunan teknologi AI di Malaysia perlu terus digerakkan dengan landasan Rabbani yang menyeimbangkan kemajuan dan spiritual.
“Matlamatnya tidak hanya untuk mempercepat inovasi tetapi juga memperkasa kreativiti manusia, mengukuhkan hubungan komuniti dan memperkaya jiwa kemanusiaan.
“Apabila teknologi dipandu oleh nilai-nilai murni, AI akan menjadi pemangkin kepada masyarakat bertamadun yang bukan sahaja maju dari segi teknikal tetapi juga teguh dari segi akhlak dan kemanusiaan,” kongsinya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |