|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| DALAM era geopolitik yang semakin kompleks, kehadiran kapal selam Sogei merupakan aset strategik yang memperkukuh pertahanan maritim dan memastikan kestabilan perairan untuk jangka masa panjang.
Sebagai salah satu negara yang mengetengahkan teknologi dan inovasi, Jepun telah meletakkan dirinya sebagai satu kuasa bawah laut paling berpengaruh di dunia.Kapal selam Sogei muncul sebagai antara aset strategik terbaharu dalam armada Japan Maritime Self-Defense Force (JMSDF) sekali gus melambangkan evolusi teknologi maritim Jepun yang semakin canggih.
Sogei bermaksud paus biru dalam bahasa Jepun.
Menurut JMSDF, Sogei dibangunkan sebagai sebahagian daripada generasi terkini kapal selam berkuasa tinggi yang menampilkan integrasi kejuruteraan moden, sistem senyap bertaraf dunia serta keupayaan peperangan bawah laut yang jauh mengatasi kapal selam generasi sebelumnya.
“Ia dirangka bukan sahaja untuk mempertahankan perairan Jepun, tetapi juga mengukuhkan kestabilan keselamatan serantau di Asia Pasifik yang kian mencabar.
“Dari segi reka bentuk, Sogei dibina berdasarkan falsafah stealth total yakni keupayaan untuk beroperasi tanpa dikesan walaupun oleh sistem sonar paling sensitif,” katanya dalam portal Naval News.
Tambahnya, struktur badan kapal selam bersaiz 84 meter panjang itu menggunakan aloi keluli tekanan tinggi generasi baharu yang membolehkan operasi selaman lebih dalam dan lebih lama, sekali gus beri kelebihan taktikal dalam misi-misi sulit.
Bentuk hidrodinamiknya juga direka untuk meminimumkan rintangan air, memastikan pergerakan lebih senyap dan memberikan kecekapan tenaga yang optimum semasa rondaan jarak jauh.
Bahagian paling menonjol dalam teknologi Sogei ialah sistem Air Independent Propulsion (AIP) atau sistem dorongan bebas udara generasi baharu.
Kongsinya lagi, sistem AIP Jepun sudah terkenal sebagai antara yang paling efisien di dunia, membolehkan kapal selam kekal berada di bawah permukaan selama beberapa minggu tanpa perlu timbul untuk mendapatkan udara.
“Namun, Sogei melangkah lebih jauh dengan versi teknologi AIP yang dipertingkat, menggabungkan sel bahan api berkecekapan tinggi dan sistem pengurusan tenaga pintar untuk memaksimumkan jarak operasi serta kurangkan penggunaan tenaga.
“Gabungan ini memberikan kelebihan strategik dalam misi mengintip, pemantauan, dan operasi taktikal di kawasan bergolak,” ujarnya.
Selain AIP, aspek paling mengagumkan dalam Sogei adalah sistem acoustic stealth yang ditingkatkan. JMSDF terkenal dengan kepakarannya dalam menghasilkan kapal selam paling senyap di dunia, khususnya melalui siri Oyashio dan Soryu.
Sogei hadir dengan lapisan penyerap bunyi baharu, menggunakan bahan komposit elastomer yang mampu mengurangkan gema sonar sehingga tahap yang hampir tidak dapat dikesan.
Sistem penebat bunyinya turut direka bagi mengurangkan getaran enjin dan mesin dalaman, menjadikannya antara kapal selam dengan ‘tandatangan’ akustik paling rendah dalam sejarah maritim Jepun.
Tidak ketinggalan, JMSDF turut menjelaskan bahawa Sogei dilengkapi teknologi sonar berbilang spektum yang mampu mengesan sasaran pada jarak lebih jauh dan lebih tepat.
“Sistem sonar pasifnya boleh mengesan bunyi kapal di permukaan laut, kapal selam musuh dan kenderaan tanpa pemandu (UUV) dengan ketepatan tinggi, manakala sonar aktifnya direka supaya pancaran bunyi sukar dikesan oleh musuh.
“Ini memberikan kelebihan besar dalam operasi anti-submarine warfare (ASW), terutamanya dalam perairan berbentuk kepulauan di sekitar Jepun yang terkenal dengan corak akustik kompleks,” kongsinya.
Dalam aspek persenjataan, Sogei dilengkapi torpedo Type 89 generasi terkini yang mempunyai kelajuan tinggi, jarak tembakan jauh serta sistem panduan yang lebih pintar berbanding versi lama.
Selain itu, sistem pelancar menegaknya membolehkan kapal selam ini menggunakan peluru berpandu antikapal dan antipermukaan, memberi kemampuan serangan dari kedudukan tersembunyi.
Teknologi pengurusan tembakan pada Sogei turut diperkemas dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) yang boleh menilai keadaan pertempuran dalam masa nyata, membantu dalam membuat keputusan tembakan secara lebih tepat dan pantas.
Satu lagi aspek yang mendapat perhatian adalah sistem autonomi dan automasi Sogei. Jepun sedang giat membangunkan platform kapal selam yang memerlukan tenaga kerja lebih kecil, namun memiliki kecekapan operasi lebih tinggi.
“Sogei menampilkan sistem kendalian separa autonomi yang membolehkan beberapa fungsi dikawal secara automatik, termasuk kawalan kedalaman, navigasi optimum dan pengesanan ancaman.
“Automasi ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan kru, tetapi juga mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia dalam misi sensitif,” jelasnya.
Kemudahan komunikasi Sogei turut diperluas dengan penggunaan sistem komunikasi frekuensi rendah dan ultrarendah (VLF/ELF) yang membolehkan ia menerima arahan strategik walaupun berada jauh di bawah permukaan laut.
Integrasi satelit Quick Access Network (QAN) pula meningkatkan kebolehupayaan bertukar maklumat secara selamat dalam masa nyata, memastikan Sogei kekal relevan dalam operasi gabungan dengan aset maritim lain.
Untuk memastikan operasi jangka panjang yang selamat, Sogei juga dilengkapi sistem keselamatan dalaman berteknologi tinggi termasuk sensor kebakaran automatik, sistem tekanan adaptif serta modul kecemasan yang membolehkan kru membuat kenaikan kecemasan (emergency ascent) dengan lebih pantas.
Ruang dalamannya direka lebih ergonomik, memberikan keselesaan kepada kru yang mungkin perlu tinggal di dalam kapal selam selama berminggu-minggu.
Kesimpulannya, Sogei bukan sekadar kapal selam baharu JMSDF, tetapi lambang kemajuan teknologi ketenteraan Jepun yang terus bergerak ke hadapan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |