|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program tuisyen percuma Asnaf to Asnaf (A to A) bagi membantu 325 pelajar tahun ini.
Naib Canselor UMT, Prof Ir Dr Mohd Zamri Ibrahim, berkata program berkenaan membabitkan peruntukan RM365,400 yang dibiayai Etiqa Family Takaful Berhad.
"Program memasuki tahun keempat itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan asnaf mendapatkan bimbingan secara percuma daripada mahasiswa UMT yang bertugas sebagai tenaga pengajar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bermula tahun ini, katanya, program itu dijenama semula sebagai Tuisyen Komuniti Etiqa hasil kerjasama antara UMT dan Etiqa Family Takaful Berhad.
"Kami komited meneruskan program ini bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bimbingan akademik tambahan tetapi kurang berkemampuan," katanya.
Mohd Zamri berkata, sejak diperkenalkan, program itu memberi manfaat kepada 1,630 pelajar dan membabitkan 405 mahasiswa sebagai tenaga pengajar sepanjang tiga tahun penganjurannya.
Katanya, sagu hati yang diberi kepada mahasiswa terbabit turut membantu mereka dalam menampung perbelanjaan harian di kampus.
"Mahasiswa yang dipilih sebagai tenaga pengajar juga adalah daripada golongan asnaf. Ini antara inisiatif UMT membantu pelajar kurang berkemampuan menangani kos sara hidup," katanya.
Beliau berkata, UMT dan Etiqa Family Takaful akan memperkukuh kerjasama pada 2025 melalui projek Etiqa Wakaf Boardwalk, yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti serta konservasi alam sekitar. – BERNAMA
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |