|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| TERSENARAI dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia merupakan satu pencapaian luar biasa yang dilakar oleh Prof. Ts Dr. Norazah Mohd Suki.
Malah, wanita berusia 48 tahun itu yang juga merupakan Profesor Pemasaran dan E-dagang di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia yang tersenarai di dalam kelompok tersebut untuk tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2025.
Senarai saintis terbaik dunia atau World’s Top 2% Scientist itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia.
Namun, hanya 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan analisis pangkalan data Scopus yang menilai kekuatan penyelidik melalui kriteria seperti jumlah petikan, H-index, kolaborasi antarabangsa dan peranan sebagai pengarang utama.
Norazah juga merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) di UUM berada di kedudukan ke-167 dunia dalam bidang perniagaan dan pengurusan serta di tempat ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis terkemuka di seluruh dunia.
Berkongsi dengan K-Wanita dalam satu sesi fotografi di Petaling Jaya baru-baru ini, Norazah amat bersyukur kerana telah tersenarai sebagai saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut.
“Anugerah ini telah diwujudkan sejak tahun 2019 dan saya tidak menghantar pencalonan untuk mendapat pengiktirafan ini, sebaliknya analisis pangkalan data Scopus yang menilai hasil penyelidikan yang saya telah terbitkan.
“Kejayaan itu adalah hasil kerja keras saya selama bertahun-tahun dalam penyelidikan dan saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dan wanita di pentas antarabangsa,” katanya yang dilahirkan di Kluang, Johor pada tahun 1977.
Tambahnya, ia adalah satu penghargaan luar biasa bukan hanya untuk dirinya secara peribadi, tetapi juga untuk Malaysia dan UUM.
Selain itu, di peringkat nasional, beliau baru-baru ini turut menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita Dalam Penyelidikan bagi Kategori Seni Kemanusiaan dan Sains Sosial (AHSS) pada Majlis Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2025.
Anugerah berprestij itu dianjurkan oleh Elsevier dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menghargai penyelidik yang menunjukkan kecemerlangan akademik, inovasi dan impak penyelidikan.
Sepanjang lebih 25 tahun dalam bidang akademik, Norazah telah berkhidmat di pelbagai institusi pengajian tinggi ternama dan menerbitkan 199 artikel dalam jurnal berindeks Scopus, dengan Scopus H-Index 40 dan lebih 5,000 jumlah petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia.
Jurnal berindeks Scopus merujuk kepada mana-mana jurnal akademik atau saintifik yang telah diindeks dan disenaraikan dalam Scopus, pangkalan data bibliografi terbesar di dunia yang dikendalikan oleh Elsevier.
Scopus H-Index digunakan bagi mengukur impak dan produktiviti penyelidikan seseorang penyelidik yang dikira berdasarkan data penerbitan yang direkodkan dalam pangkalan data Scopus.
“Scopus H-Index 40 ini merujuk kepada sekurang-kurangnya 40 penerbitan yang setiap satu daripada 40 penerbitan saya dipetik secara meluas oleh komuniti akademik antarabangsa sekurang-kurangnya 40 kali.
“Bukan semua penyelidik mampu capai Scopus H-Index 30 ke atas, apatah lagi untuk capai nilai 40 yang dianggap sangat tinggi dalam bidang sains sosial dan pengurusan. Ini kerana bidang itu secara relatif mempunyai bilangan penyelidik dan kadar petikan tidak setinggi bidang sains tulen,” ujarnya yang gemar membeli-belah dan melancong jika ada kelapangan masa.
Penyelidikan yang dilakukannya banyak berfokus kepada pemasaran hijau, pemasaran digital, tingkah laku pengguna, kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Norazah turut mengkaji topik baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan fenomena ‘Buy Now, Pay Later’ yang semakin mempengaruhi pola pembelian generasi muda. Terkini, beliau menjalankan penyelidikan berimpak tinggi berkaitan tingkah laku digital masyarakat Orang Asli.
“Kajian saya cuba menyatukan nilai sosial dan kelestarian dalam strategi pemasaran moden,” katanya.
Penyelidikan yang dihasilkan Norazah juga memberikan impak dan beliau telah hasilkan tujuh harta intelek (intellectual property) dalam bidang pemasaran dan pengguna yang menunjukkan inovasi praktikal dalam menyelesaikan isu-isu semasa dalam perniagaan dan masyarakat.
Norazah juga membimbing pelajar-pelajar Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) yang terdiri daripada eksekutif kanan dan pengurusan tertinggi syarikat (C-suite) dalam melaksanakan projek perundingan strategik, termasuk untuk pasaran Indonesia yang menyatukan penyelidikan akademik dengan aplikasi industri sebenar.
Kerjasama rentas sempadan yang beliau jalankan turut menyumbang kepada dasar berbentuk lintas budaya dalam sektor pendidikan dan industri.
Akui Norazah, untuk kekal dalam senarai dua peratus saintis terbaik dunia bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut bukanlah sesuatu yang mudah. Kongsinya, dia perlu aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi.
“Cabaran terbesar ialah mengekalkan konsistensi dan disiplin dalam penyelidikan sambil menunaikan tanggungjawab lain sebagai pentadbir, pensyarah, dan sukarelawan.
“Menulis dan menerbitkan dalam jurnal berimpak tinggi menuntut komitmen berterusan dan ketelitian akademik yang tinggi,” ujarnya.
Disiplin harian adalah asas dan beliau mengamalkan pendekatan penulisan berterusan. Setiap hari beliau memperuntukkan masa untuk menulis atau menyemak penyelidikan.
Norazah juga dibantu oleh ekosistem penyelidikan yang kukuh di UUM dan pasukan pelajar pascasiswazah berdedikasi.
Mengulas kerjaya sebagai ahli akademik, Norazah berkata, beliau merupakan seorang yang cintakan ilmu.
“Saya juga mempunyai keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat melalui penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi. Oleh sebab itu saya memilih untuk menjadi seorang ahli akademik dan berkongsi ilmu kepada lebih ramai orang.
“Saya percaya pendidikan bukan sekadar kerjaya, tetapi amanah untuk membangunkan bangsa dan negara,” katanya.
Menceritakan tentang pendidikannya sehingga membolehkannya menjadi ahli akademik, Norazah berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dia memilih untuk melanjutkan pengajian diploma di Institut Perdagangan Mara (IPM) Melaka.
Kemudian melanjutkan pengajian untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya.
Beliau telah mula menerbitkan artikel berimpak tinggi di pangkalan data Scopus dan Web of Science (WoS) sejak pengajian di peringkat sarjana dan berjaya mendapatkan PhD di usia 29 tahun dalam bidang pemasaran dan e-dagang.
“Saya telah memulakan kerjaya di MMU diikuti Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
“Kemudian, saya bertugas di Universiti Selangor (UNISEL) diikuti Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan sebelum berkhidmat di UUM pada 2018 hingga kini,” jelasnya.
Sepanjang kerjayanya, Norazah juga membantu pelajarnya untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan. Beliau pernah membantu 105 pelajar ijazah sarjana muda untuk menerbitkan artikel melalui bab dalam buku yang berindeks Scopus.
“Peranan saya adalah sebagai penyelia yang memberikan bimbingan.
“Mereka yang menjalankan kajian dan saya membantu dari segi menyemak analisis data dan penulisan,” katanya.
Tambahnya, ini adalah caranya untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai dunia penyelidikan.
Salah satu impiannya adalah melahirkan lebih ramai pelajar yang dapat meneruskan legasi akademik pada masa hadapan.
Norazah juga menitipkan pesan kepada wanita di luar sana yang bercita-cita mencapai pengiktirafan antarabangsa dengan membina kekuatan dalam satu bidang khusus.
“Fokus kepada kualiti dan impak, serta cipta rangkaian kerjasama yang kukuh.
“Wanita penyelidik perlu yakin dengan potensi diri dan tidak gentar bersuara dalam arena akademik yang kompetitif.
“Gunakan peluang yang ada, dan sentiasa letakkan nilai integriti dalam setiap penyelidikan,” pesannya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |