|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Kerugian lebih RM800,000 ditanggung 30 pekebun kelapa sawit di FELDA Bukit Kuantan, dekat sini sejak tiga tahun lalu apabila tanaman mereka dimusnahkan gajah liar.
Terbaharu, malam kelmarin kira-kira 40 ekor haiwan berkenaan menceroboh ladang dan memusnahkan pokok sawit yang baharu ditanam semula termasuk pokok sedang berbuah.
Pekebun, Kamsan Shariff, 74, berkata, malam kelmarin kumpulan lebih 40 ekor gajah menceroboh ladang miliknya dan memusnahkan lebih 300 pokok yang sedang mengeluarkan hasil.
Katanya, pihak FELDA ada menyediakan pagar elektrik dan parit dilaluan sempadan hutan dan ladang, namun haiwan berkenaan tetap berjaya menceroboh kawasan ladang sawit milik kira-kira 30 kebun.
"Haiwan terbabit turut bertindak ganas dengan merosakkan pagar elektrik selain menyeberang parit yang ada, kumpulan gajah itu juga menyeberang sungai untuk menceroboh ladang sawit.
"Peneroka secara bekerja sama melakukan pengawalan pada waktu malam setiap kali ancaman haiwan bermuncul yang kini semakin kerap menceroboh ladang yang diusahakan sejak 1974," katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini haiwan terbabit hanya dua hingga tiga kali setahun menceroboh ladang peneroka, namun sejak kebelakangan ini haiwan berkenaan semakin kerap muncul pada waktu malam.
Setiap kali menceroboh ladang lebih 500 pokok sawit yang sedang berbuah musnah.
Kamsan yang menetap di FELDA Bukit Kuantan sejak 51 tahun lalu, berkata benih pokok sawit klon yang bersaiz lebih rendah memudahkan lagi gajah mencabut umbut tanaman berkenaan yang rata-rata berumur tiga hingga lima tahun.
"Peneroka yang terbabit dengan ancaman kumpulan gajah berkenaan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dapat mengambil tindakan yang terbaik bagi mengatasi ancaman haiwan liar itu.
"Kami tidak sanggup lagi menanggung kerugian secara berterusan sepanjang tahun, terutama apabila pokok sawit yang sedang mengeluarkan hasil musnah," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kuantan, Bakaruddin Daud, 70, berkata, dalam tempoh tiga tahun kemunculan kumpulan gajah itu lebih 3,000 pokok sawit berumur antara tiga hingga lima tahun musnah.
Katanya, pekebun terpaksa menanggung kerugian besar kerana harga sepokok anak sawit klon RM23 tidak termasuk upah menanam RM7, kos baja (RM10). Kira-kira RM40 kos bagi sepokok sawit yang ditanam.
"Modal telah banyak keluar, impian meraih pendapatan lumayan hasil jualan buah sawit tidak menjadi kenyataan sebaliknya kerugiaan terpaksa kami tanggung setiap tahun angkara gajah yang seolah semakin selesa menceroboh ladang sawit kami.
"Kami pekebun merayu PERHILITAN supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya, mungkin boleh tangkap dan pindahkan haiwan berkenaan bagi mengelak kemusnahan pokok sawit tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
"Kami juga bimbang haiwan liar itu akan masuk ke kawasan kampung dan mengancam keselamatan penduduk memandangkan kawasan rayaunya
berhampiran dengan penempatan peneroka," katanya yang kini terbabit membuat kawalan pada waktu malam.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |