Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhamad Asyraff Hafizi
Title :KKDW setuju perbesar kampus UPTM, terima lebih ramai pelajar - Ahmad Zahid
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :10 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju supaya kampus Univeristi Poly Tech Malaysia (UPTM) diperbesar bagi menerima lebih ramai pelajar dari dalam dan luar negara. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, akan memastikan keutamaan diberi dalam belanjawan tambahan bagi mendirikan kampus UPTM lebih besar. "Penting untuk UPTM mempunyai kampus yang lebih besar. Saya harap (Ahli) Lembaga (Pengarah) MARA, bawa ke majlis mesyuarat akan datang bahawa saya selaku Menteri KKDW setuju bahawa kampus UPTM diperbesarkan. "Saya dengan (Menteri Komunikasi,) Datuk Fahmi (Fadzil) dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, walaupun kami parti politik lain-lain, kita akan membisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya beri keutamaan kepada belanjawan tambahan untuk mendirikan kampus lebih besar," katanya. Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Amazing Syawal UPTM di kampus berkenaan di sini, hari ini. Selain usaha memperbesar kampus UPTM, Ahmad Zahid turut menggariskan beberapa harapan utama, dalam usaha memperkukuh peranan UPTM sebagai institusi unggul yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut memberi impak besar kepada masyarakat dan negara. Pertama, beliau berkata, UPTM perlu memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan golongan profesional dan 'future leaders' bagi meneruskan legasi serta menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara. "Kedua, sebagai satu-satunya IPMA yang berjaya mendapat status Platinum ACCA, adalah penting untuk UPTM menjadi peneraju agenda nasional dalam meningkatkan peratusan akauntan bertauliah. "Maka, perlu ada program khas seperti Young Talent Programme (YTP) MARA bagi menggalakkan semua pelajar cemerlang terutamanya dari MRSM dan Kolej Profesional MARA untuk meneruskan pelajaran di UPTM," katanya. Keempat, Ahmad Zahid juga mahu melihat UPTM mempunyai kemudahan pembelajaran yang bertaraf 'world class' iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus kelas di UPTM adalah Smart Classroom yang mempunyai panel kecerdasan interaktif, internet berkelajuan tinggi dan 'state-of-the-art facilities' yang dapat menampung semua keperluan pembelajaran terkini. "Selain itu, selaras dengan pembangunan program Bachelor in Artificial Intelligence yang dijangka akan mula ditawarkan pada akhir 2025, sebuah makmal kecerdasan buatan (AI) perlu dibangunkan segera," katanya. Beliau berkata, UPTM turut menawarkan program peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) bersekali dengan sijil profesional seperti Chartered Institute of Management Accountant (CIMA), The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA), Chartered Management Institute (CMI) dan SAS Institute. "Sebagai universiti yang menawarkan program seperti pendidikan awal kanak- kanak dan TESL juga, UPTM perlu memberi tumpuan khas kepada kualiti pembangunan Taska dan Pusat Bahasa bagi memastikan pelajar UPTM mendapat aktiviti 'hands-on' dalam pembelajaran mereka. "Bagi pembangunan awal kanak-kanak, teruskan kerjasama UPTM dengan KEMAS yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Pastikan program-program pendidikan diterapkan dengan nilai-nilai pendidikan dan roh MARA serta KKDW iaitu mendidik generasi muda untuk menyumbang kembali kepada bangsa dan negara," katanya. Sebagai universiti MARA, Ahmad Zahid berkata, adalah penting untuk UPTM mendokong agenda keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai majikan dalam kalangan golongan muda. "Jadilah universiti yang luar biasa dengan menawarkan platform yang melatih pelajar menjana pendapatan seterusnya menjadi majikan selepas tamat pengajian," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035