Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Noorazura Abdul Rahman
Title :Pelajar UUM disaran kuasai sekurang-kurangnya 4 bahasa - Johari Abdul
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :13 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SINTOK: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disaran menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai asas penting untuk bersaing dalam pasaran kerja global semakin mencabar. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata kemampuan menguasai pelbagai bahasa dalam kalangan mahasiswa akan meningkatkan kebolehpasaran graduan. Justeru, beliau berkata pelajar perlu memanfaatkan tempoh empat tahun di universiti untuk belajar dan menguasai pelbagai bahasa bermula dari hari pertama di kampus. "Kuasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini, bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan lain-lain bahasa seperti bahasa Arab . "Dengan menguasai banyak bahasa, kamu tidak akan pernah salah kerana semua majikan akan mencari pelajar UUM. Jadi universiti perlu wajibkan pelajar ambil empat bahasa kerana saya percaya Tuhan jadikan otak kita tanpa had," katanya pada Program Outreach "Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan" diPusat Konvensyen, di sini, hari ini. Johari turut mengingatkan pelajar tidak hanya tertumpu pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut membina kemahiran komunikasi, jaringan global dan nilai integriti yang kukuh. "Kepimpinan bermula keberanian untuk keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan, dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital. "Saya menggalakkan pelajar UUM lebih banyak menganjurkan lawatan sambil belajar ke luar, terutama ke universiti-universiti untuk meluaskan lagi pengalaman serta pengetahuan mereka. Keluarlah untuk melihat dunia, jangan terlalu terikat sistem," katanya. Johari turut yakin dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, semua pelajar sama ada di bandar atau luar bandar mempunyai peluang sama rata dalam menuntut ilmu. Beliau juga menasihatkan pelajar berminat menceburkan diri dalam bidang politik agar memiliki pakej lengkap antaranya pencapaian yang baik dalam akademik serta penampilan yang menarik. "Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan manusia, tapi anda juga akan ditanya oleh Tuhan... apakah yang telah anda lakukan ketika anda mempunyai kuasa, jadilah seorang wakil rakyat yang bijak," katanya mengakhiri sesi soal jawab bersama pelajar.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035