Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI
Title :Inovasi platform pengesahan halal UIAM bakal dibawa ke OIC
Faculty :Kosmo
Year of Publication :8 Disember 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KETIKA ini, industri halal sedang berkembang pesat, bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat global. Namun, di sebalik perkembangan pesat industri halal global, proses pengesahan bahan mentah seperti lemak, minyak dan gelatin daripada sumber halal masih menjadi satu cabaran besar. Malah, ada produk menggunakan lemak, minyak dan gelatin daripada haiwan seperti babi yang menjadikannya haram untuk digunakan oleh umat Islam. Ramai tidak mengetahui bahawa tidak semua bahan boleh diuji menggunakan teknik Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk mengenal pasti asid deoksiribonukleik (DNA) terutama apabila melibatkan sampel berasaskan minyak atau lemak. Jika suatu unsur seperti daging lebih mudah dikesan dengan kaedah sedia ada, berbanding unsur seperti minyak. Dengan kaedah teknik bersasar DNA sebelum ini, keputusan adakalanya tidak tepat dan perlu diulang-ulang. Oleh demikian, penyelidik di Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhamad Shirwan Abdullah Sani mengambil inisiatif untuk membangunkan platform pengesahan halal (halal authentication platform). Menurutnya, dia membangunkan kaedah analisis untuk sampel lemak dan minyak dengan menggunakan teknik pemprofilan.   “Kita satukannya dengan kecerdasan buatan (AI) untuk bangunkan satu platform pengesahan halal. “Platform ini akan menentukan sama ada ujian analisis untuk sampel lemak dan minyak adalah halal atau tidak,” katanya. Bagi lemak dan minyak, teknik pemprofilan digunakan adalah seperti Spektroskopi Inframerah Transformasi Fourier (FTIR) dan Kromatografi Gas Spektrometri Jisim (GCMS). Sementara bagi sampel gelatin menggunakan Kromatografi Cecair Berprestasi Tinggi (HPLC). Bagi membantu mengesahkan status halal, data sampel yang diperoleh daripada teknik pemprofilan perlu dimuat naik ke dalam platform pengesahan halal. Kemudian, platform itu akan menganalisis secara automatik, sebelum memberikan keputusan sampel minyak, lemak dan gelatin diuji sama ada halal atau tidak. JELAS Muhamd Shirwan, asas pembangunan platform itu bermula daripada pendedahan awal terhadap teknik kemometrik atau data sains. “Saya mula menggunakan kemometrik pada tahun 2012 semasa berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia, khususnya dalam analisis tumpahan minyak. “Pengalaman itu menunjukkan betapa kuatnya pendekatan berasaskan data dalam mentafsir maklumat kimia yang kompleks,” ujarnya. Kemudian, semasa pengajian doktor falsafah (PhD), dia memperluaskan penggunaan kemometrik kepada analisis makanan dan pengesahan halal. Setelah tamat pengajian, pegawai Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjemput penyelidik-penyelidik lain bekerjasama memperkenalkan teknik itu kepada Jabatan Standard Malaysia (JSM). Usaha itu bermatlamat menjadikannya satu standard baharu negara. Pihak JSM telah menjalankan kajian perbandingan antara makmal (interlaboratory comparison) untuk melatih makmal pengujian halal mengenai cara menggunakan kaedah pemprofilan dan kemometrik dengan betul. Muhamad Shirwan berkata, usahanya itu berjaya menerima maklum balas yang sangat positif. Terangnya, pihak JSM telah menerbitkan ‘Standard Malaysia MS 2809: 2025 Authentication of products using chemometric techniques’ berasaskan untuk rujukan di peringkat kebangsaan. Ia akan dibawa ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya negara-negara anggota dapat menggunakannya dalam proses pensijilan halal di tempat masing-masing. Mengulas lanjut tentang teknik pemprofilan yang digunakan seperti FTIR, GCMS dan HPLC, dia memaklumkan, ia mencirikan serta memprofilkan keseluruhan cap jari kimia sesuatu sumber. Justeru, cap jari kimia bagi setiap haiwan dan tumbuhan hampir sama serta sukar untuk dibezakan, maka teknik itu perlu digabungkan dengan teknik kemometrik untuk menentukan jenis sumber. Muhamad Shirwan menjelaskan, kombinasi itu menjadi teknik alternatif dan selalunya menjadi teknik pelengkap kepada teknik bersasar (targeted technique) seperti ujian DNA. “Lebih-lebih lagi, ujian DNA menghadapi cabaran mengesan kehadiran DNA haiwan dalam sampel lemak, minyak dan gelatin. “Sukar untuk mengesan sampel lemak dan minyak dengan menggunakan teknik DNA kerana ia larut dalam air, sedangkan lemak dan minyak tidak bercampur dengan air,” ujarnya. Teknik DNA biasanya dapat mengesan sama ada sumber itu halal atau tidak untuk sampel protein seperti daging. Teknik DNA sukar untuk mengesan sampel minyak dan lemak yang digunakan terutamanya untuk produk kosmetik. Oleh itu, teknik pemprofilan yang disatukan bersama kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi alternatif untuk mendapat pengesahan halal sesuatu produk. Pada peringkat awal, analisis menggunakan kombinasi teknik pemprofilan dan kemometrik dilakukan menggunakan perisian konvensional yang memerlukan masa serta interpretasi manual lebih panjang. Dengan perkembangan teknologi, pasukan INHART dan UIAM menambah baik pendekatan kemometrik dengan mengintegrasikan AI serta sains data. Sebelum ini, analisis terhadap sampel minyak dan lemak sukar untuk dibezakan dengan mata kasar. Namun dengan adanya elemen AI dalam pengesahan halal, perbezaan antara sampel tersebut lagi mudah dilihat. Data yang diperoleh daripada FTIR, GCMS dan HPLC kini boleh digunakan untuk membina pangkalan data berstruktur serta melatih model analitik bagi mengenal pasti sumber sampel dengan lebih tepat. Muhamad Shirwan berkata, pendekatan yang dipertingkatkan itu kini dikenali sebagai platform pengesahan halal. “Saya telah berkongsi platform ini dengan MyHAC dan menggalakkan mereka untuk mencuba serta memberikan maklum balas. Inisiatif ini tidak dibiayai oleh sebarang geran, ia sepenuhnya usaha INHART dan UIAM sebagai maklum balas kepada cabaran dinyatakan oleh makmal-makmal pengujian halal,” terangnya. Banyak makmal melaporkan kesukaran menggunakan teknik bersasar, terutamanya untuk sampel kompleks berasaskan lemak dan minyak seperti produk-produk kosmetik di pasaran. Memburukkan lagi keadaan, produk-produk yang dibeli secara atas talian juga berisiko mengandungi sumber tidak halal. Muhamad Shirwan menjelaskan, begitu juga dengan produk-produk dari seberang laut yang telah mendapat pensijilan halal luar negara ataupun foreign halal certification body (FHCB). Menurutnya, biarpun produk-produk itu disahkan halal oleh FHCB, namun tidak semua sumber produk-produk itu diuji di makmal terlebih dahulu. “Malah baru-baru ini, FHCB Indonesia menarik balik produk berasaskan gelatin yang berada di pasaran termasuk di Malaysia kerana mengandungi sumber tidak halal sekalipun telah mendapat pensijilan halal di negara itu. “Malaysia telah lama mengambil langkah proaktif meletakkan syarat untuk menguji sumber sampel gelatin untuk mendapatkan pensijilan halal Malaysia kerana pihak Jakim maklum berkenaan status kritikal produk tersebut,” terangnya. Platform pengesahan halal menawarkan teknik alternatif dan pelengkap yang praktikal, lebih cepat dan lebih kukuh. Dengan menggabungkan teknik pemprofilan, kemometrik, AI dan sains data, platform itu membantu makmal menjalankan pengesahan halal dengan lebih cekap. Untuk makluman, matlamat INHART dan UIAM ialah menyokong Malaysia sebagai peneraju sains halal dan menyumbang kepada sistem pensijilan halal lebih seragam.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035