Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Saadiah Ismail
Title :USIM perlu kepimpinan baharu, buka hospital pengajar di Nilai - Dr Rafidah Hanim
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :14 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disifatkan memerlukan kepimpinan baharu untuk merangka hala tuju dan masa depan institusi itu sebagai sebuah universiti yang cekap dalam perancangan strategik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sokongan kewangan luar. Ini susulan daripada USIM mencatatkan kerugian tiga tahun berturut-turut bermula tahun 2021 hingga mengalami defisit sebanyak RM44 juta pada 2023, disebabkan geran operasi dan penjanaan pendapatan melalui yuran pelajar yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan. Profesor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar, menyifatkan antara sumber yang mampu menjana pendapatan USIM yang sekian lama dirancang ialah hospital pengajar USIM. Beliau berkata, pada awalnya ia dirancang dibina berhampiran fakulti perubatan di Nilai, Negeri Sembilan tetapi kemudiannya ditukar ke Kota Tinggi, Johor iaitu kira-kira 300 kilometer (km) dari fakulti. "Fakulti Perubatan USIM yang terletak di Nilai hanya 20km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 50km ke Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 100km ke Melaka yang mana semua ini adalah destinasi pelancongan popular. "Akses antara bandar juga dipermudah dengan stesen komuter Nilai yang hanya 7km dari kampus utama, manakala kursus USIM adalah dalam mengintegrasikan ilmu Aqli dan Naqli yang mampu menarik lebih ramai pesakit dan pelajar antarabangsa, terutamanya dari Asia Barat. "Hospital pengajar USIM ini jika dibina di Nilai akan terus berkhidmat kepada komuniti setempat, sekali gus mengurangkan kesesakan hospital awam, selain boleh menawarkan perkhidmatan sub-kepakaran yang diperlukan," katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya hari ini. Februari lalu, Berita Harian melaporkan Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan, tiga universiti awam (UA) antara lima agensi Persekutuan dilapor mengalami kerugian berturut-turut tertinggi tiga tahun berturut-turut iaitu antara 2021 hingga 2023. Tiga UA itu membabitkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM14.21 juta pada 2021; RM2.62 juta pada 2022 sebelum melonjak kepada RM44.02 pada 2023. Dr Rafidah Hanim berkata, sayap swasta hospital pengajar USIM di Nilai juga boleh menjanjikan pulangan pelaburan yang lebih baik dan menjadi instrumen untuk menjana pendapatan 20 peratus yang diperlukan bagi menampung perbelanjaan universiti, berbanding jika ia dibina di Kota Tinggi. "Lokasi dan infrastruktur yang baik juga sangat penting bagi hospital pengajar universiti untuk mendapatkan campuran kes mencukupi bagi tujuan pengajaran perubatan. "Hospital pengajar perlu berada di kawasan yang mempunyai campuran kes pesakit mencukupi untuk pelajar belajar daripada pelbagai disiplin, bilangan kes minimum dalam jangka masa tertentu untuk mencerminkan keberkesanannya seperti yang digariskan dalam Garis Panduan Majlis Perubatan Malaysia. "Ini hanya boleh dicapai di kawasan berpenduduk padat seperti Nilai, jadi amat membimbangkan jika hospital pengajar universiti dibebani hutang kerana lokasinya yang tidak strategik dan terus bergantung kepada kementerian untuk pembiayaannya," katanya. Beliau berkata, terdapat ramai pakar klinikal USIM juga meletakkan jawatan sejak beberapa tahun lalu kerana terlalu banyak arahan dikeluarkan, berbanding sesi perbincangan dua hala secara telus dalam membuat keputusan penting ini. "Ketidaktentuan mengenai rancangan Hospital Pengajar USIM, ramai meragui bentuk dan keberhasilannya, menyebabkan pakar terpaksa meninggalkan USIM untuk merancang kerjaya mereka dan mengekalkan kemahiran klinikal masing-masing. "Justeru kepimpinan baharu yang lebih peka terhadap suara di peringkat akar umbi amatlah diperlukan," katanya. Sementara itu, pentadbiran USIM yang dihubungi bagi mengulas kenyataan yang dibuat oleh Dr Rafidah Hanim, berkata pengurusan universiti akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara yang dibangkitkan dan akan berkongsi dengan media kelak.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035