Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :BERNAMA
Title :Sultan Pahang berkenan rasmi Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung pertama di Malaysia
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :15 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JERANTUT: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) yang pertama di Malaysia. FLOODCOM yang dibangunkan hasil kerjasama antara Agensi Nuklear Malaysia (ANM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, bertujuan menyelaras operasi dan logistik khususnya semasa berlakunya bencana banjir. Dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa modal dan peralatan bot pelancong bagi Program Pembangunan Ekonomi Asnaf serta bantuan Bina Baru Rumah oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada beberapa penduduk di mukim Hulu Tembeling. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Dalam pada itu, baginda menzahirkan harapan agar semua inisiatif itu dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dan berhasrat untuk memperluaskan program tersebut ke kawasan lain. "Penerima bantuan peralatan tadi, saya harap dapat membuktikan kejayaan projek ini. Jangan bekerja sambil lewa, beri tumpuan sepenuhnya. "Jika berjaya, kita akan tambah lagi bantuan dalam skala yang lebih besar," titah baginda pada Majlis Pengurniaan Bantuan Program Pembangunan Ekonomi Asnaf dan Bantuan Bina Baru Rumah MUIP serta Perasmian FLOODCOM di Kampung Bantal, di sini. Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar MUIP menubuhkan satu badan khas bagi memperkasa sektor ekonomi, khususnya pelancongan, di kawasan Hulu Tembeling dan Pulau Tioman. Baginda juga menyatakan hasrat untuk menjalankan kajian terperinci bagi membangunkan sektor pertanian mikro menggunakan teknologi moden di kawasan pedalaman. "Saya juga akan membuat kajian terperinci untuk melaksanakan projek pertanian berskala kecil tanpa perlu meneroka kawasan tanah baharu. "Kita akan manfaatkan teknologi canggih supaya hasil pertanian dapat digunakan untuk keperluan domestik atau dijual ke luar," titah baginda. – BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035